PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu tampil menjelaskan proses pemecatan pengadil, Fitri Maskon yang disifatkan sebagai tergesa-gesa selain tiada ruang diberikan untuknya membela diri.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, pemecatan Fitri itu disifatkan sebagai ada yang tidak kena terutama tiada proses pendengaran untuk membolehkan Fitri bersuara.
Menurutnya, mungkin kepimpinan FAM yang baru dilantik mahu menunjukkan ketegasan, namun mereka tidak boleh menjadi seperti pemerintahan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dilihat membuat keputusan sewenang-wenangnya dan tidak masuk akal.
“Saya tertanya-tanya adakah pemecatan ini mengikut lunas atau undang-undang yang ditetapkan? Kerana tempoh masa daripada kejadian yang berlaku pada Khamis dan keputusan pada Ahad itu amat singkat.
“Fitri sebagai pengadil yang bekerja sukarela tetapi dipecat sedemikian rupa yang sememangnya sangat tidak patut dan memberikan kesan kepada imejnya.
“Dalam organisasi, sudah tentu ada peraturan khusus sebelum seseorang itu dipecat. Itu yang perlu dilihat kembali, namun dalam kes ini seperti tiada pendengaran dan Fitri tidak dapat pertahankan diri dia.
Fitri dipecat selepas menunjukkan prestasi yang lemah ketika mengadili perlawanan Piala MFL antara Negeri Sembilan FC menentang Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Khamis lalu.
“Bukan saya mahu mempertikaikan kuasa FAM itu, namun perlu ada proses yang betul. Barisan FAM baharu diharap tidak mengikut resmi Trump dalam pemerintahan mereka,” katanya kepada Sukan Sinar.
Pada Ahad, FAM mengumumkan memecat Fitri selepas dia menunjukkan prestasi yang lemah ketika mengadili perlawanan Piala MFL antara Negeri Sembilan FC menentang Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Khamis lalu.
Ia menjadi keputusan yang agak drastik dan pertama kali dilakukan oleh FAM selain menegaskan badan induk itu tidak berkompromi dalam isu berkaitan pengadil.
Kes itu mendapat perhatian bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh yang menyifatkan barisan kepimpinan FAM itu seharusnya memiliki cara lebih baik daripada memecat serta menghebohkan mengenai pemecatan Fitri yang sekali gus akan memalukan dan membunuh kariernya.
Dalam pada itu, Sadek juga menyifatkan tindakan FAM itu bakal memberikan kesan besar kepada pengadil yang hanya bekerja secara sukarela bersama FAM.
“Banyak sebenarnya kesannya terutama dengan keputusan pertama kali dibuat FAM ini. Mungkin dari sudut positif ia akan memberikan amaran kepada pengadil supaya bersikap profesional.
“Namun, ia juga boleh menjadi negatif kepada pengadil yang saya bimbang mereka akan boikot mengadili perlawanan di bawah kendalian FAM.
“Sebabnya mereka bekerja secara sukarela dengan FAM. FAM perlu cermin diri sendiri sebelum bertindak secara kuku besi,” katanya.