TW Racing Team tampil berbeza

TW Racing Team tampil berbeza


Raja Mohammed Firhad (tengah) bersama kru TW Racing Team. Foto FB TW Racing Team

TW Racing Team membawa kelainan dalam arena perlumbaan motosikal tempatan apabila tampil berbeza menerusi misi yang lebih besar dalam sukan permotoran negara.

Bukan sekadar perlumbaan, tetapi pasukan itu hadir dengan pakej pembangunan bakat tempatan merangkumi pelumba, kejuruteraan, kewartawanan, pendidikan dan pengurusan sukan permotoran.

Pengurus Pasukan dan Program Pembangunan Bakat TW Racing, Mohd Nizam Che Ahmad berkata, sebagai sebahagian daripada program TW Talent Development, TW Racing Team bekerjasama dengan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Ia memberi penekanan kepada latihan prestasi tinggi, analisis data perlumbaan, serta pembangunan mental dan fizikal pelumba bagi memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran di peringkat profesional,” katanya.

TW Racing Team dilancarkan secara rasmi oleh Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam, Prof Madya Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin di Sepang.

Pasukan tersebut akan dibarisi pelumba berpengalaman, Nizar Syahmi Sazali dan Muhammad Al Barraq Ab Waharp yang bersaing dalam Malaysia Speed Festival serta penuntut UiTM, Allan Harris Herman.

Mohd Nizam menjelaskan bahawa Horizon Beranang Circuit akan menjadi pusat latihan utama pasukan yang menyediakan sesi latihan intensif serta simulasi perlumbaan bagi meningkatkan kecekapan dan prestasi di litar sebenar.

“Terima kasih kepada rakan strategik dan penaja yang telah merealisasikan impian TW Racing Team termasuk Brothers Garage, Pirelli, RK Takasago Chain, Koyoko dan HJ Racing.

“TW Racing Team juga mengalu-alukan sokongan daripada peminat dan komuniti permotoran tempatan dalam usaha membawa pasukan ini ke tahap lebih tinggi,”katanya.

Sebagai rekod, Nizar Syahmi, 33, akan menyertai saingan Supersport dan Muhammad Al Barraq, 37, dalam kategori Super Rookie, manakala Allan Harris pada perlumbaan Cub Prix (Pro-Am).



Source link

OR

Scroll to Top