Blue Warriors tidak letak tekanan tinggi kepada pemain

Blue Warriors tidak letak tekanan tinggi kepada pemain


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad Blue Warriors Megat Azrafiq Megat Termizi enggan meletakkan tekanan kepada anak buahnya dalam memburu gelaran juara Piala Vivian May Soars 2025 pada aksi final wanita Liga Hoki Malaysia (MHL) menentang Malaysian University (MU) esok.

Meskipun menyedari bahawa skuad juara bertahan MU menunjukkan peningkatan prestasi, Megat Azrafiq berkata, beliau hanya mahu anak buahnya menikmati setiap perlawanan tanpa sebarang tekanan, memandangkan ini aksi Piala Vivian May Soars terakhir buat rata-rata pemain kendaliannya.

“Saya menjangkakan akan ada aksi sengit dalam final ini. Cuma dari segi pemain, saya tidak mahu memberi tekanan untuk memburu kejuaraan. Saya lebih fokus kepada kesungguhan dan keinginan mereka.

“Rata-rata pemain akan beraksi dalam final buat kali terakhir, jadi saya mahu mereka menikmati saat ini dan memberikan yang terbaik. Jadi, mereka akan bermain tanpa tekanan,” katanya pada sidang media Piala Vivian May Soars 2025 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Blue Warriors berjaya mara ke final selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Qnet Phoenix pada separuh akhir Rabu lalu manakala MU menewaskan Negeri Sembilan 3-0 untuk menempah slot ke final.

Sementara itu, ketua jurulatih MU Ikmal Abdul Jabar berkata, beliau tidak meletakkan sasaran untuk memburu kejuaraan kerana pasukannya kini lebih menumpukan kepada pembangunan, memandangkan rata-rata pemainnya muka baharu bagi musim ini.

“Untuk tahun ini, kami lebih kepada projek pembangunan. Kami bermula agak lambat dalam liga dan sudah cuba mendapatkan ramuan terbaik. Alhamdulillah, perancangan menjadi dan kami semua gembira dengan apa yang telah dicapai hingga berjaya ke perlawanan akhir. Jadi, saya rasa kami sudah mencuba yang terbaik untuk mendapatkan sesuatu dalam musim ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top