Kedah kekal bertanding di Liga Super musim depan

Kedah kekal bertanding di Liga Super musim depan


PEMILIK Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menafikan dakwaan bahawa kelab bola sepak itu akan menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan.

Mohd Daud berkata, segala khabar angin yang bertebaran dalam beberapa minggu ini adalah tidak benar sama sekali.

“Kami tidak pernah menghantar surat (penarikan diri) kepada mana-mana pihak. Kami akan kekal dan komited untuk terus bersaing dalam Liga Super setakat yang mampu,” katanya pada majlis pengumuman rakan strategik dan duta-duta KDA FC di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan KDA FC berdepan isu tunggakan gaji akibat masalah kewangan, sekali gus timbul dakwaan bahawa juara Piala Malaysia lima kali itu akan menarik diri daripada bersaing di peringkat tertinggi Liga Malaysia (Liga-M) dan beraksi di liga lebih rendah musim depan.

Kepimpinan Kedah Darul Aman FC, Mohd Daud (tiga, kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif BeONE Network Sdn Bhd Nazri Saad (dua, kanan) bergambar selepas sidang media Majlis Pengumuman Rakan Strategik dan Pengisytiharan Duta KDA FC di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Jumaat. Duta Rakan Strategik Baru KDA FC, Black (tiga, kiri), Muhd Iqbal (kiri) dan Muhd Irshad Syafiq (dua, kiri). Foto Bernama

Pada majlis berkenaan, KDA FC mengumumkan syarikat telekomunikasi BE ONE Network Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik, selain memperkenalkan duta baharu mereka, iaitu penyanyi terkenal Hanifah Muhammad Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Black serta figura media digital, Muhd Iqbal Mohd Nor (CEO Batu) dan Mohd Irshad Shafiq Mohd Tahir (CEO Biezy).

Dalam pada itu, Mohd Daud berharap pengumuman duta baharu ini sedikit sebanyak mampu mempromosikan produk KDA FC dengan lebih meluas, terutama dalam usaha meningkatkan keahlian kelab penyokong pasukan itu, ‘The Wing’.

Menurutnya, jumlah keahlian kelab penyokong amat penting bagi menjamin penajaan daripada sebuah syarikat luar negara.

“Sebuah syarikat antarabangsa meletakkan Indeks Prestasi Utama (KPI) dengan sasaran KDA FC memiliki sekitar 15,000 hingga 20,000 ahli penyokong berdaftar.

“Jadi, jika kami berjaya mencapainya, syarikat tersebut bersetuju untuk membantu kami dalam masa terdekat,” katanya sambil memaklumkan jumlah keahlian penyokong kelab berdaftar ketika ini sudah mencapai 10,000.

– Bernama



Source link

OR

Scroll to Top