KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menggunakan umpan ayam dalam usaha menangkap seekor buaya yang dikesan di Sungai Klang berhampiran pusat membeli-belah, Mid Valley di sini.
Pengarah Perhilitan Wilayah Persekutuan, Ishak Muhammad berkata, setakat ini reptilia berkenaan belum masuk ke dalam perangkap yang dipasang.
“Buaya itu tidak lagi kelihatan sejak kali terakhir ia dikesan. Kami masih menjalankan pemantauan rapi di kawasan ini dengan harapan dapat menangkap dan memindahkannya ke lokasi yang lebih selamat,” katanya.
Semalam, Perhilitan mengesahkan telah memasang perangkap bagi menangkap buaya sepanjang tiga meter yang dikatakan muncul di sungai berkenaan
Ishak berkata, orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi kawasan tersebut sehingga reptilia berkenaan berjaya ditangkap bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Berdasarkan rakaman video yang tular, kami percaya buaya itu merupakan reptilia yang sama sebelum ini dikesan di kawasan Masjid Jamek,” katanya.
Pada 8 Februari lalu, tular video memaparkan kelibat seekor buaya di Sungai Klang berhampiran Masjid Jamek. – UTUSAN