Bina legasi baharu Joehari

Bina legasi baharu Joehari


DATUK Mohd Joehari Mohd Ayub perlu keluar daripada bayang-bayang kepimpinan lama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar badan induk tersebut lebih disegani di pentas tempatan dan antarabangsa.

Justeru penganalisis sukan, Zainal Abidin Rawop berharap presiden baharu itu dapat membina legasinya sendiri yang lebih segar dan berinovasi.

“Apa yang paling penting presiden baharu kena keluar daripada bayang-bayang pengurusan lama iaitu dengan menyuntik idea-idea bernas dan baharu sebab peminat memerlukan sentuhan yang boleh memacu semula bola negara negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Joehari. Foto Bernama.

Bekas naib presiden FAM itu Sabtu lalu secara rasmi dipilih menerajui badan induk tersebut bagi menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2018.

Zainal Abidin juga berharap Mohd Joehari berani melakukan langkah drastik dengan mengubah FAM menjadi lebih garang dan tegas terutama melibatkan perjalanan Liga Malaysia dan pasukan kebangsaan.

“Jangan lepas tangan, sebaliknya beri perhatian dan pantau pasukan senior, junior, skuad wanita, futsal serta bola sepak pantai.

“FAM tidak lagi menguruskan liga tempatan, sebaliknya diuruskan oleh MFL (Liga Bolasepak Malaysia). Dengar ura-ura bahawa semakin banyak pasukan yang akan tarik diri daripada liga. Itu akan mencerminkan betapa lemah bola sepak kita.

“Begitu juga di peringkat akar umbi kerana difahamkan tiada lagi pertandingan Bawah 23 Tahun (B-23). Apa jadi kepada pemain muda ini dan jangan lupa juga bagaimana perjalanan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), kita tidak mahu bakat pemain mati di situ sahaja,” katanya.

Menurutnya, barisan kepimpinan baharu juga tidak boleh berasa selesa dengan jawatan mereka, sebaliknya perlu bersama mengembleng tenaga serta melahirkan idea luar kotak dan bernas demi kepentingan bola sepak negara.

Malah tambah beliau, lebih mengujakan apabila dua bekas pemain negara, Datuk Dollah Salleh serta Datuk Zainal Abidin Hassan turut berada dalam barisan kepimpinan baharu dan diharapkan kepakaran mereka dapat membantu meningkatkan reputasi FAM.

“Barisan kepimpinan termasuk timbalan, naib presiden serta exco kena proaktif dengan melontarkan idea-idea baharu dan bernas untuk memastikan bahawa perjalanan bola sepak Malaysia di landasan yang betul,” katanya.

Zainal Abidin juga berharap, Mohd Joehari mengukuhkan kembali hubungan dengan Persatuan Bolasepak (FA) negeri untuk bersama-sama memacu kejayaan bola sepak negara.

“Hubungan badan induk dengan FA dilihat begitu renggang, seolah-olah melepaskan tanggungjawab kepada mereka. Presiden baharu juga perlu menangani masalah yang dihadapi oleh FA Kelantan dan Perlis. Bantu mereka, bukan buat musuh,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top