MANCHESTER United telah menjadi kuasa dominan dalam era Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi bilakah kali terakhir mereka menanggung aib diturunkan ke divisyen lebih rendah?
Dalam era EPL, The Red Devils muncul kelab paling berjaya apabila merangkul 13 kejuaraan liga sejak 1992. Di bawah kepimpinan Sir Alex Ferguson, kelab ini tidak pernah menamatkan saingan di bawah tangga ketiga.
Pada musim terakhir legenda Scotland itu di Old Trafford, United dinobatkan sebagai juara. Sejak itu, The Red Devils belum lagi memenangi sebarang gelaran liga.
United mengalami kemerosotan prestasi sejak pemergian Ferguson.
Ketika ini, United kelihatan jauh daripada tahap kegemilangan itu, dengan musim yang suram apabila hanya mencatat lapan kemenangan daripada 25 perlawanan EPL (setakat Sabtu, 8 malam waktu Malaysia).
Ruben Amorim yang mengambil alih tugas sebagai pengurus di Old Trafford selepas pemecatan Erik ten Hag pada pertengahan November lalu pula kelihatan bergelut untuk memastikan pasukannya menampilkan prestasi yang konsisten.
Bila kali terakhir United diturunkan divisyen?
PENYINGKIRAN terbaru The Red Devils berlaku pada musim 1973-74 apabila mereka menamatkan saingan di tangga ke-21 dengan hanya mengumpul 32 mata.
United tewas 20 perlawanan musim itu termasuk kekalahan 3-0 kepada Arsenal dalam perlawanan pembukaan dan kekalahan 1-0 kepada Stoke City dalam perlawanan terakhir kempen.
Kedudukan terendahUnited dalam era EPL adalah tempat ketujuh pada musim 2013-14 di bawah kendalian David Moyes, iaitu musim pertama selepas pemergian Ferguson.
Prestasi buruk dalam liga juga menyebabkan United gagal melayakkan diri ke sebarang pertandingan Eropah buat kali pertama sejak musim 1989-90.

Ralf Rangnick (kiri) dan Erik ten Hag dilabel peminat sebagai pengurus paling teruk pernah dilantik United.
Rekod kutipan mata terendah mereka dalam era EPL berlaku pada musim 2021-22, dengan hanya 58 mata daripada 38 perlawanan.
Ole Gunnar Solskjaer, wira treble 1999 semasa zaman bermainnya dipecat pada pertengahan musim, sementara penggantinya, Ralf Rangnick gagal mengubah nasib pasukan walaupun dilantik sebagai pengurus interim.
Walaupun United menghadapi kesukaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mereka pernah mengalami keadaan yang lebih teruk dalam sejarah kelab.
Mereka telah diturunkan divisyen sebanyak lima kali sejak penubuhan mereka pada tahun 1878, termasuk sekali ketika masih dikenali sebagai Newton Heath LYR FC.
Langit tidak selalunya cerah
Sebelum penubuhan EPL, United kebanyakannya bersaing dalam Divisyen Pertama, iaitu nama lama bagi liga utama bola sepak Inggeris.
Selepas hanya satu musim dalam Divisyen Kedua, United kembali ke liga utama pada tahun 1975 sebagai juara.
Pun begitu, United pernah diturunkan divisyen sebanyak empat kali sebelum era 1970-an, iaitu pada tahun 1894, 1922, 1931 dan 1937.
Mereka tidak pernah bermain lebih rendah daripada divisyen kedua bola sepak Inggeris, walaupun pada tahun 1934 mereka hampir tersingkir ke divisyen ketiga dan hanya terselamat selepas menewaskan Millwall 2-0 pada hari terakhir musim tersebut, sekali gus memintas kelab London itu dan menyebabkan mereka tersingkir.

Amorim setakat ini belum mampu mengubah nasib United.
Sebagai rekod, United adalah sebahagian daripada kumpulan elit enam kelab yang telah bermain dalam setiap musim EPL sejak penubuhannya pada tahun 1992 bersama Arsenal, Chelsea, Everton, Liverpool dan Tottenham Hotspur.
RAMALAN SUPERKOMPUTER
– Superkompuer meramalkan United akan terselamat daripada penyingkiran walaupun berada di tangga ke-15 liga.
– Menurut ramalan superkomputer, United dijangka menamatkan musim di tangga ke-14 dengan kebarangkalian 19 peratus.
– Kedudukan itu enam tangga lebih rendah daripada kedudukan kelapan yang mereka capai pada musim lalu yang merupakan pencapaian terburuk United dalam sejarah EPL.
– Skuad kendalian Amorim itu diramalkan hanya mempunyai 0.1 peratus peluang untuk tersingkir ke tangga ke-18, manakala kemungkinan mereka berada di tempat ke-19 atau ke-20 adalah sifar.