PELUMBA berbasikal trek negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir mencipta kejutan apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara perlumbaan mata wanita elit pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACT) 2025 di Velodrom Nasional di Nilai pada Isnin.
Pada perlumbaan 100 pusingan itu, Nur Aisyah mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengumpul 20 mata keseluruhan, hanya satu mata di hadapan pelumba Uzbekistan Nafosat Kozieva (19 mata) di tempat ketiga, manakala pelumba Jepun Maho Kakita (44 mata) menjuarai acara berkenaan.
Ini adalah pingat perak kedua buat pelumba kelahiran Terengganu itu pada ATC 2025 selepas meraih tempat kedua dalam perlumbaan scratch semalam.
“Alhamdulillah, bersyukur kerana berjaya meraih pingat perak dalam acara ini, yang juga percubaan pertama saya. Saya sendiri tidak menyangka akan berada di podium kerana perlumbaan ini sangat mencabar dengan 100 pusingan dan setiap 10 pusingan ada pecutan.
“Ia benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental, dan saya cuba mencari kedudukan terbaik berbaki 40 pusingan selepas melihat pelumba di kedudukan ketiga hanya ketinggalan satu mata di belakang saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlumbaan di sini.
Nur Aisyah kini akan mengalihkan tumpuannya kepada satu lagi acara disertai iaitu madison wanita apabila bergandingan bersama Nyo Ci Hui esok.
Dalam acara berbasikal trek para, Nur Suraiya Muhammad Zamri dan Farina Shawati Mohd Adnan (jurumudi) pula meraih emas acara pecut tandem wanita (B), mengatasi satu lagi wakil negara Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan Nur Fitrah Shaari (jurumudi) yang meraih perak. – Bernama