Penjenayah luar 'suka' Malaysia

Penjenayah luar 'suka' Malaysia



mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Mereka penjenayah licik yang berjaya mengelak tindakan undang-undang dengan melarikan diri ke negara asing termasuk Malaysia.

Pembabitan dalam jenayah penipuan, judi, dadah dan pelbagai lagi menyebabkan tindakan tegas diambil negara asal dalam memburu mereka sehingga terpaksa melarikan diri bagi mengelak ditahan.

Namun di Malaysia, mereka juga tidak dapat melepaskan diri apabila dalam tempoh lapan tahun lalu, seramai 43 penjenayah warga asing yang bersembunyi di sini ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, penjenayah warga asing yang paling ramai bersembunyi di negara ini dan berjaya ditahan adalah dari Korea iaitu seramai 13 orang diikuti Taiwan (9), Uzbekistan (4), Indonesia (4), Jepun (2), Iran (2) dan masing-masing seorang dari Rusia, Pakistan, Perancis, Nepal, India, Bangladesh, Vietnam, Amerika Syarikat dan Thailand.

“PDRM bersama agensi penguat kuasa lain menjalankan pelbagai operasi untuk menangkap penjenayah yang melarikan diri ke Malaysia bagi mengelak tindakan undang-undang di negara asal mereka.

“Hasil kerjasama, risikan dan maklumat diperoleh, mereka yang bersembunyi di negara ini berjaya ditahan sebelum dihantar pulang untuk menerima hukuman di negara asal.

“PDRM juga sentiasa bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan penjenayah yang bersembunyi di negara ini,” katanya kepada Harian Metro.

Razarudin berkata, polis turut memperkukuhkan kawalan sempadan bagi membanteras penyeludupan bukan sahaja penjenayah tetapi juga senjata api, dadah dan barangan seludup.

Sementara itu, penganalisis jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, populasi berbilang kaum dan dasar penggalakan kehadiran pelancong diambil kesempatan oleh penjenayah luar negara untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi persembunyian.

Katanya, kedudukan Malaysia yang mempunyai banyak ‘pintu masuk’ dengan negara jiran menarik perhatian penjenayah yang dikenakan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol) untuk masuk secara haram menggunakan ejen tempatan.

“Malah penjenayah terbabit dikesan ada yang mengupah sindiket tempatan bagi melindungi mereka sepanjang berada di sini ini.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan ada penjenayah menggunakan laluan laut dan laluan tidak sah untuk menyeludup masuk kerana dikenakan notis merah oleh Interpol.

“Jika mereka masuk melalui laluan sah, sudah tentu mudah dikesan dan ditahan kerana dikenakan notis merah,” katanya.

Beliau berkata, faktor negara ini yang berbilang kaum turut menjadi pilihan penjenayah bersembunyi di sini.

“Lebih membimbangkan apabila mereka yang bersembunyi di negara kita terus menjalankan kegiatan jenayah kerana sudah ada kepakaran dalam perjudian dan penipuan selain bekerjasama dengan sindiket tempatan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai perlu memainkan peranan membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat jika melihat kelibat warga asing yang mencurigakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top