Mohd Joehari (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.
DATUK Noor Azman Rahman kekal memegang jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 selepas diumumkan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub itu turut menyaksikan Datuk Ismail Karim mengekalkan jawatan sebagai Bendahari FAM bagi tempoh empat tahun akan datang.
Mesyuarat yang dihadiri oleh kesemua 16 Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM turut menyaksikan pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi bagi setiap jawatankuasa tetap serta jawatankuasa ad-hoc bagi penggal baharu.
Antara jawatankuasa utama yang diumumkan termasuk Jawatankuasa Darurat yang dipengerusikan oleh Mohd Joehari sendiri dengan Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebagai timbalannya serta Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan yang turut diterajui oleh dua individu sama.
Selain itu, Jawatankuasa Pengadil diketuai oleh Datuk S Sivasundaram bersama Timbalan Pengerusi Tang Chee Hong manakala Presiden Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Datuk Suraya Yaacob dan Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah sebagai timbalannya.
Dua bekas pemain kebangsaan yang mencipta sejarah berada dalam tampuk kepimpinan FAM iaitu Datuk Zainal Abidin Hassan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan manakala Datuk Dollah Salleh memegang jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan.