Conceicao akui tekanan meningkat meningkat

Conceicao akui tekanan meningkat meningkat


Milan: Pengendali AC Milan, Sergio Conceicao, mengakui tekanan terhadap dirinya semakin memuncak selepas kekalahan Serie A kepada Bologna, awal pagi tadi, namun menegaskan beliau akan terus bekerja dengan penuh semangat selagi kelab belum membuat keputusan sebaliknya.

Musim Milan kini di ambang kehancuran selepas tersingkir dari Liga Juara-Juara dan mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam liga.

Kekalahan 1-2 di tangan Bologna meletakkan mereka di tangga kelapan Serie A, lapan mata di belakang Juventus yang menghuni slot terakhir Liga Juara-Juara dengan hanya 12 perlawanan berbaki.

“Semuanya masih dalam tangan kami. Jika tiba masanya kelab merasakan saya bukan lagi individu yang sesuai untuk Milan, saya akan berundur. Tapi selagi itu tidak berlaku, saya akan terus bekerja dengan penuh semangat,” kata Conceicao kepada wartawan.

“Saya berasa sangat kecewa kerana keputusan tidak berpihak kepada kami. Tapi saya fikir ini normal bagi seorang jurulatih yang bekerja dengan penuh komitmen.

“Nampaknya ada awan gelap menyelubungi Milan yang hanya boleh dihapuskan dengan kemenangan kerana keputusan adalah segalanya dalam bola sepak.”

Pengendali dari Portugal itu turut merasakan kritikan terhadapnya sejak kebelakangan ini tidak adil.

“Jika saya sudah tidak diperlukan, saya akan kemas beg dan pergi tanpa meminta walau satu euro,” katanya.

“Saya sudah mengendalikan hampir 100 perlawanan Liga Juara-Juara, saya memenangi 13 trofi. Tapi masih ada orang bercakap buruk mengenai saya. Saya ada keluarga dan jiran yang melihat apa yang sedang berlaku, ini tidak adil.”

Milan bakal menerima kunjungan Lazio dalam saingan Serie A pada Isnin depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top