KEJAYAAN Selangor FC mengakhiri kemarau 10 tahun kejuaraan Liga Malaysia (Liga-M) dengan merangkul trofi Piala Cabaran selepas menewaskan PDRM FC dengan agregat 7-0 boleh disifatkan hadiah cukup bermakna daripada pemain buat penyokong setia The Red Giants.
Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, turut berbangga menjadi sebahagian daripada sejarah baharu The Red Giants, sebuah pasukan yang sarat dengan pelbagai kejuaraan liga domestik negara.
Namun, di sebalik kemenangan bergaya itu, kehadiran 2,232 penonton dalam perlawanan akhir kedua pada 22 Februari berbanding 3,768 pada perlawanan pertama pada 15 Februari menimbulkan persoalan mengenai ‘kehilangan’ penyokong setia Raja Lembah Klang itu.
Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Faizal Wahid ketika meluahkan kekecewaannya, mahu penyokong juara 33 kali Piala Malaysia itu segera mengubah cara berfikir ketika anak buah Kinoshi sedang rancak dalam proses pembinaan semula pasukan.
Jelas Faizal, kejayaan Kinoshi dan pemain Selangor mencipta sejarah baharu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak setimpal dengan kehadiran pemain ke-12 pasukan yang kini berada di tangga kedua Liga Super itu.
Selangor juara baharu Piala Cabaran selepas menewaskan PDRM dengan agregat 7-0 dalam perlawanan akhir di Stadium MBPJ pada Sabtu. Foto Bernama
Stadium MBPJ mampu menampung seramai 10,600 penonton pada satu-satu masa, namun melihat kepada jumlah kehadiran penonton pada Sabtu lalu, ia seakan memberi petunjuk bahawa piala tersebut tidak signifikan buat penyokong The Red Giants selepas penyokong lawan menganggapnya sebagai piala ‘Mickey Mouse’ atau piala kerdil yang tidak penting.
“Saya tidak nafikan apabila terdapat segelintir pihak memperli Piala Cabaran sebagai trofi tahap dua dan sebagainya, ia secara tidak langsung menjejaskan mentaliti segelintir penyokong untuk dua perlawanan timbal balik tersebut.
“Malah, kemenangan 3-0 yang diraih Selangor dalam perlawanan akhir pertama akibat kesilapan teknikal PDRM FC gagal dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penyokong untuk hadir ke stadium dalam perlawanan timbal balik.
“Sudah tentu saya kecewa. Seharusnya penyokong Selangor tidak terpengaruh dengan ejekan status trofi. Kejayaan pasukan Selangor mengakhiri kemarau trofi tidak diraikan setara dengan kehadiran penyokong-penyokong,” ujarnya kepada Sukan Sinar.
Jelas Faizal lagi, penyokong The Red Giants juga perlu mengelak daripada terjebak dengan perang saraf di media sosial daripada penyokong pasukan lawan yang membeza-bezakan status setiap trofi kejuaraan dipertandingkan dalam saingan Liga-M kelolaan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
“Penyokong-penyokong yang terperangkap dengan perang psikologi pasukan pesaing secara tidak langsung akan merasa malu untuk ke stadium bagi menyokong pasukan mereka dan inilah yang berlaku sepanjang kempen Piala Cabaran.
“Jika diikutkan momentum untuk Selangor kekal berada di tangga kedua Liga Super adalah dengan meraih tonik kemenangan dalam Piala Cabaran, dan inilah yang berjaya dilaksanakan coach Kinoshi dan pemain Selangor pada Sabtu lalu.
“Harus juga diingat bahawa biarpun Selangor kini berada di tangga kedua Liga Super, namun diekori rapat pencabar terdekat Sabah dengan saingan masih berbaki beberapa perlawanan lagi, yang turut mengintai slot Liga Juara-Juara Asia 2 musim depan,” katanya.
Selangor akan menentang Sabah di Stadium MBPJ pada Khamis ini.