Komposer, pemuzik Zul Mahat meninggal dunia

Komposer, pemuzik Zul Mahat meninggal dunia



mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Komposer dan pemuzik, Zul Mahat, 64, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, malam ini akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Berita sedih itu disampaikan anak saudaranya kepada teman rapat komposer terbabit, Rosnah Abdul Aziz.

Terdahulu, Allahyarham dimasukkan ke PPUM pada penghujung Disember lalu selepas terjatuh semasa membuat rawatan dialisis di sebuah pusat dialisis di Subang Jaya.

Zul Mahat mengalami kecederaan di bahagian dagu, mata serta patah tangan kanan dan bahu kanan.

Allahyarham dirawat selama hampir sebulan di hospital berkenaan dan turut menjalani prosedur angiogram.

Doktor mendapati ada dua saluran darah tersumbat dan memasukkan stent bertujuan menstabilkan keadaannya.

Allahyarham dibenarkan keluar dari hospital pada penghujung Januari, tetapi dimasukkan semula ke PPUM pada 17 Februari lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Sepanjang kariernya, Allahyarham banyak menghasilkan lagu-lagu untuk artis tanah air antaranya Perjalanan Duka nyanyian Min Malik, Sahabat (Fauziah Latiff) dan Sesat Dalam Gelita (Spider).

Sebagai pemain keyboard, Zul Mahat juga banyak terbabit dengan kerja-kerja rakaman album Datuk M Nasir, Search dan banyak lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top