Bangkok: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Thailand dimasukkan ke hospital dengan kerosakan paru-paru yang teruk selepas dilaporkan menghisap vape dan minum kratom atau ketum selama hampir dua tahun.
The Independent melaporkan keluarga gadis itu dari wilayah Buri Ram tidak mengetahui tabiatnya sehingga pihak sekolah memaklumkan kepada mereka mengenai keadaannya.
Nenek gadis itu berkata bahawa cucunya mula menunjukkan perubahan tingkah laku selepas memasuki darjah empat, lapor The Nation.
Sebelum ini, dia seorang pelajar yang rajin tetapi mula kurang membantu dalam kerja rumah dan sering keluar dengan alasan belajar bersama rakan-rakan.
Kesihatannya semakin merosot dan dia dimasukkan ke Hospital Satuek selepas mengalami kesukaran bernafas yang teruk, muntah serta lemah badan.
Di hospital, doktor memaklumkan kepada keluarganya bahawa hampir keseluruhan kapasiti paru-parunya terjejas akibat menghisap vape dan dia memerlukan alat bantuan pernafasan.
Kes ini mula mendapat perhatian umum selepas Paphawarin Simlakorn, seorang petugas kecemasan berkongsi gambar pelajar yang dibawa ke hospital akibat simptom sama.
Tiga lagi pelajar dari sekolah sama dari darjah 5, 6, dan 8 juga dimasukkan ke hospital kerana mengalami kesukaran bernafas dan sesak dada yang dikaitkan dengan penggunaan e-rokok secara berpanjangan serta pengambilan ketum iatu sejenis herba memberikan kesan seperti opioid.
Menurut Surasak Koonpak, seorang kerani di majlis perbandaran Don Mon, pelajar darjah 5 dan 6 dimasukkan ke Hospital Satuk pada Selasa lalu, manakala pelajar darjah 8 dimasukkan ke hospital pada Khamis.
Salah seorang daripada mereka kemudian dipindahkan ke Hospital Buri Ram untuk rawatan lanjut, lapor Bangkok Post.
Pihak berkuasa melancarkan siasatan mengenai penjualan bahan-bahan itu dan menahan dua individu yang mengendalikan sebuah kedai berhampiran sekolah.
Mereka merampas e-rokok, minuman kratom, sirap batuk yang disyaki dicampur dengan ketum serta sepucuk senjata api haram.
Kerajaan Thailand mengeluarkan amaran baharu mengenai penyebaran peranti vape haram yang dipasarkan kepada golongan muda.
Pihak berkuasa mendapati peningkatan bekalan ‘pod toys’, iaitu peranti vape yang direka menyerupai mainan mini seperti watak anime Jepun.
Beberapa peranti ini yang dikenali sebagai ‘e-rokok Doraemon’ dijual serendah 99 baht (RM13) menjadikannya mudah diakses oleh kanak-kanak.
Timbalan jurucakap kerajaan, Anukul Prueksanusak memberi amaran bahawa sesetengah e-rokok dicampur dengan ubat penenang kuat seperti Etomidate yang boleh menyebabkan mengantuk melampau, tekanan darah rendah dan gangguan pernafasan.
© New Straits Times Press (M) Bhd