‘King Of Subuh Warrior’: Latih cintai ibadah sejak kecil

‘King Of Subuh Warrior’: Latih cintai ibadah sejak kecil


Zakir Hadi (kiri), Aiman Khaiyiza dan Ukail Uwais menerima sijil, basikal, hamper, piala dan voucher penginapan pada program ‘King Of Subuh Warrior’

– Advertisement –

KEMAMAN: Kebiasaan bangun awal dan menghadiri solat Subuh berjemaah mungkin sesuatu yang mencabar bagi kebanyakan orang, apatah lagi bagi kanak-kanak.

– Advertisement –

Namun, program ‘King Of Subuh Warrior’ dianjurkan Masjid Titian Berayun, Kijal membuktikan bahawa dengan galakan dan bimbingan yang betul, anak-anak mampu menunjukkan disiplin luar biasa dalam menjaga ibadah mereka. 

Program itu direka sebagai satu cabaran untuk kanak-kanak dan remaja menunaikan solat Subuh berjemaah secara konsisten di masjid dengan sasaran 40 hari berturut-turut.

Pengarah Program ‘King Of Subuh Warrior’, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar berkata, program tersebut menerima sambutan luar biasa sekali gus membuktikan bahawa kanak-kanak boleh dilatih untuk mencintai ibadah sejak kecil.

“Alhamdulillah, program ini juga mendapat sokongan padu daripada ibu bapa dan masyarakat.

“Kita berharap ia dapat diteruskan setiap tahun untuk membentuk generasi yang mencintai solat berjemaah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup ‘King Of Subuh Warrior’ di Masjid Titian Berayun, Kijal.

Beliau berkata, sebagai ganjaran atas komitmen mereka, setiap peserta yang berjaya menamatkan cabaran 40 hari menerima sijil penghargaan, sebuah basikal, hamper, piala, dan voucher penginapan sebagai tanda penghormatan atas usaha mereka dan hadiah-hadiah lumayan juga untuk kategori lain.

Sementara, dalam majlis penghargaan yang diadakan itu, tiga peserta berjaya menamatkan cabaran 40 hari tanpa gagal diberikan penghormatan khas.

Mereka ialah Muhammad Aiman Khaiyiza Mohammad Khairul Azan (13), Muhammad Ukail Uwais Mohd Khairuddin (13) dan Muhammad Zakir Hadi Mohd (9).

Bagi Zakir Hadi, pengalaman itu bukan sesuatu yang baharu kerana dia sudah terbiasa ke masjid sejak kecil, namun, katanya sepanjang program itu berlangsung, dia lebih bersemangat untuk terus istiqamah. 

“Saya memang suka ke masjid ikut ayah, walaupun keluarga ada urusan di Kuala Lumpur, saya tetap tinggal di Kemaman dengan ahli keluarga lain supaya boleh terus solat Subuh berjemaah.

“Terima kasih kepada pengurusan masjid yang menganjurkan program dan juga kepada ibubapa saya yang setiap hari hantar saya ke masjid untuk solat berjemaah,” katanya.

Selain itu, peserta yang berjaya dalam kategori 30, 20, dan 10 hari juga diberikan penghargaan sebagai motivasi untuk terus beristiqamah dalam solat berjemaah. – HARAKAHDAILY 2/3/2025



Source link

OR

Scroll to Top