Polis selamatkan 17 wanita Indonesia disyaki mangsa pemerdagangan manusia

Polis selamatkan 17 wanita Indonesia disyaki mangsa pemerdagangan manusia


KUALA LUMPUR – Polis berjaya menyelamatkan 17 wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam serbuan di sebuah asrama syarikat perkhidmatan pembantu rumah di Shah Alam, Selangor semalam.

Ketua Penolong Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Soffian Santong berkata semua mangsa yang berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun diselamatkan dalam Operasi Pintas (Op Pintas) pada 9.30 malam.

Beliau berkata serbuan dijalankan selepas mendapat maklumat mengenai kewujudan eksploitasi buruh paksa terhadap mangsa yang diberikan pekerjaan sebagai pembantu rumah.

“Siasatan awal mendapati kesemua mangsa bekerja antara enam bulan hingga dua tahun dengan majikan tersebut dan ada mangsa mengadu tidak pernah menerima sebarang bayaran gaji,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Soffian berkata pihaknya menahan tiga lelaki berusia lingkungan 31 hingga 40 tahun yang berperanan sebagai majikan dan penyelia untuk mengambil serta menghantar mangsa ke tempat kerja masing-masing dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran.- BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top