BNPL: Kemudahan atau Perangkap Kewangan?

Kuala Lumpur: Mutakhir ini, pembelian dibuat dengan pelbagai kaedah yang memudahkan pengguna tanpa memerlukan wang tunai. Ditambah dengan ledakan platform pembayaran tanpa tunai (cashless payment), pengguna kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk melakukan transaksi dengan lebih mudah dan cepat. Malah, terdapat platform pembelian dalam talian yang memperkenalkan kaedah Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL), yang menyerupai penggunaan kad kredit.

BNPL semakin popular di Malaysia, terutamanya dalam platform e-dagang. Melalui skim ini, pengguna boleh membeli barang atau perkhidmatan terlebih dahulu dan membuat bayaran secara ansuran, kebiasaannya tanpa faedah jika dibayar dalam tempoh yang ditetapkan. Antara penyedia BNPL yang terkenal di Malaysia termasuk GrabPay Later, Atome, Shopee PayLater dan Razer Fintech.

Namun, kaedah ini menimbulkan kebimbangan apabila pengguna cenderung untuk membuat pembelian melebihi kemampuan mereka tanpa sedar. Oleh itu, Kementerian Kewangan Malaysia sedang memperkenalkan Rang Undang-undang Kredit Pengguna (RUUKP) yang bertujuan untuk meningkatkan perlindungan kepada pengguna kredit serta mengawal selia industri kredit di Malaysia. Langkah ini diambil bagi mengelakkan pengguna daripada terperangkap dalam beban hutang yang tidak terkawal.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Siti Nurain Muhmad, menyambut baik langkah kerajaan dalam menggubal Akta Kredit Pengguna (AKP) sebagai langkah kawal selia BNPL.

Menurutnya, BNPL mempunyai manfaat tersendiri tetapi perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab.

“Skim BNPL memberi kemudahan kepada pengguna untuk membeli barang tanpa perlu membayar terlebih dahulu dalam bentuk ansuran sebagai alternatif yang perlu digunakan dengan baik dan bukan mengambil kesempatan. Kebanyakan pengguna yang menggunakan perkhidmatan ini tidak mempunyai kad kredit, menjadikannya lebih mudah diakses. Tambahan lagi, proses permohonan BNPL cepat dan mudah tanpa perlu mengemukakan maklumat yang terperinci,” katanya.

Namun, beliau turut menegaskan bahawa kemudahan itu boleh memberi kesan negatif kepada pengguna sekiranya tidak dikawal dengan baik.

“Kelulusan permohonan yang cepat tanpa penilaian kredit yang telus memberikan risiko kepada pengguna, seperti kegagalan membayar ansuran pada waktu yang ditetapkan. Tanpa kawalan yang betul, pengguna mungkin berbelanja melebihi kemampuan mereka dan akhirnya terperangkap dalam hutang. Mereka mungkin mempunyai banyak ansuran yang perlu dibayar serentak, menyebabkan mereka sukar menguruskan kewangan dengan baik.”

Tambahnya lagi, terdapat denda dan caj faedah yang tinggi bagi pengguna yang gagal membayar ansuran tepat pada masanya menjadikan pembelian tersebut lebih mahal daripada jangkaan asal.

Selain itu, kegagalan membuat bayaran mengikut jadual boleh memberi kesan negatif kepada skor kredit pengguna yang akhirnya boleh menjejaskan kelayakan mereka untuk mendapatkan pinjaman pada masa depan.

Katanya, Akta Kredit Pengguna (AKP) yang bakal diperkenalkan diharapkan dapat memastikan penyedia perkhidmatan BNPL lebih bertanggungjawab dan pengguna lebih terlindung daripada risiko kewangan yang tidak terkawal sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.

Oleh :

Dr. Siti Nurain Muhmad
Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

 

OR

Scroll to Top