Arsenal lakar sejarah, Arteta mahu piala bukan rekod

Arsenal lakar sejarah, Arteta mahu piala bukan rekod


PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menegaskan bahawa keutamaan pasukannya adalah meraih trofi dan bukan mencipta rekod selepas mereka membelasah PSV Eindhoven 7-1 dalam aksi Liga Juara-Juara di Philips Stadion.

Kemenangan luar biasa dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik itu menyaksikan The Gunners mencatat kemenangan terbesar di tempat lawan dalam sejarah peringkat kalah mati kejohanan berprestij Eropah itu.

Arsenal mendahului dengan jaringan Jurrien Timber, Ethan Nwaneri, Mikel Merino, Leandro Trossard dan Martin Odegaard dalam tempoh 48 minit permainan.

Odegaard sekali lagi menemui gawang pada minit ke-73 sebelum Riccardo Calafiori turut menambah gol ketujuh untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan bersejarah itu.

Ia juga merupakan kekalahan terbesar pernah dialami PSV dalam tempoh 112 tahun penubuhan kelab tersebut.

Ketika ditanya mengenai pencapaian tersebut, Arteta bagaimanapun menegaskan bahawa rekod bukanlah fokus utama pasukannya.

“Ia sesuatu yang sangat bermakna tetapi yang lebih penting adalah memastikan kami berada dalam kedudukan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Itu realitinya. Untuk mencipta penanda aras, kami perlu mencapai tahap yang lebih tinggi. Tetapi apa yang dilakukan oleh pasukan ini dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini adalah sesuatu yang luar biasa dan belum pernah dilakukan dalam sejarah kelab.

“Namun, itu bukanlah matlamat utama kami. Kami mahukan kejuaraan, bukan sekadar rekod,” katanya.

Sebelum ini, Arsenal bergelut mempamerkan ketajaman di jentera serangan apabila hanya menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan terakhir mereka, ditambah dengan ketiadaan empat tonggak utama – Kai Havertz, Gabriel Jesus, Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli yang mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, Arteta percaya bahawa bola sepak sentiasa penuh dengan kejutan dan aksi luar biasa di Eindhoven membuktikan keupayaan pasukannya.

“Itulah keindahan bola sepak. Tiada siapa yang dapat menjangka keputusan perlawanan ini.

“Jika saya beri anda sampul surat sebelum perlawanan dan minta anda meneka keputusan serta penjaring, tiada siapa yang akan menyebut 7-1. Itulah magis dalam bola sepak.

“Apa yang penting sekarang adalah merendah diri, terus bekerja keras dan menganalisis bagaimana kami boleh menjadi lebih baik. Perlawanan seterusnya pasti berbeza dan tidak ada siapa yang boleh meramal skripnya,” ujarnya.

Arsenal kini berada dalam kedudukan selesa untuk mara ke suku akhir dan bakal menghadapi perlawanan timbal balik di Emirates Stadium dengan kelebihan besar.



Source link

OR

Scroll to Top