PERAK: Fail Mahkamah edisi 5 Mac 2025 malam ini bakal merungkai tragedi menyayat hati yang berlaku di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, Perak.
Kes ini melibatkan Zaharah Khalid, 77, yang ditemukan meninggal dunia di dalam parit.
Siasatan polis mendapati mangsa dipercayai dibunuh oleh sahabat lamanya, Muhammad Shaharuddin.
Pada pagi 3 Mei 2020, Zaharah dilaporkan keluar dari rumah dan tidak pulang pada malam hari. Keluarga mangsa yang bimbang melaporkan kehilangan ibu mereka kepada pihak polis.
Polis akhirnya menemui mayat Zaharah dalam keadaan tertiarap di dalam parit. Beberapa saksi turut melaporkan bahawa mereka mendengar jeritan dari arah rumah suspek pada petang kejadian.
Hasil siasatan mendapati Zaharah pergi ke rumah Muhammad Shaharuddin untuk berbincang mengenai wang sehingga mencetuskan sebuah pertengkaran dan suspek dikatakan menampar mangsa sehingga mangsa terjatuh.
Suspek kemudian dilaporkan menggunakan tudung dan kain tuala untuk mencekik mangsa sebelum membuang mayat Zaharah ke dalam parit dengan menggunakan kereta sorong.
Pihak polis akhirnya menemui motosikal milik Zaharah yang disembunyikan di bawah daun sawit sekali gus membawa kepada penemuan mayat mangsa.
Muhammad Shaharuddin, 68, ditahan di rumahnya tanpa menunjukkan tanda-tanda ingin melarikan diri atau rasa bersalah.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat jerutan pada leher dan lemas.
Muhammad Shaharuddin, yang sebelum kejadian tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, dikenali sebagai seorang yang baik. Namun, perangainya dikatakan berubah selepas kematian ibunya.
Pada mulanya, suspek dijatuhkan hukuman mati tetapi dengan pemansuhan hukuman mati mandatori, hukuman itu dikurangkan kepada 38 tahun penjara.
Kes ini turut memberi tumpuan kepada perubahan besar dalam sistem perundangan negara khususnya mengenai hukuman mati mandatori.
Klik sini untuk mengetahui lanjut mengenai kes pembunuhan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd