'Rahsia' kejayaan Blue Warriors raih treble

'Rahsia' kejayaan Blue Warriors raih treble



saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kejayaan pasukan wanita Blue Warriors meraih gelaran treble buat kali pertama pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) bulan lalu membuktikan betapa pentingnya aspek rakan sukan terutamanya daripada tokoh dunia korporat.

Mengambil contoh Blue Warriors, tanpa sokongan Pengerusi ENS Group of Companies, Datuk Seri Selvakumar Shanmugam Chetty, mungkin sukar untuk skuad bimbingan Megat Azrafiq Megat meraih kejayaan sebesar itu.

Meskipun tidak pernah terbabit sebagai ahli sukan profesional, tetapi minatnya yang mendalam dalam aspek sukan mendorong Selvakumar untuk memberi sokongan kepada pasukan Blue Warriors.

“Treble pertama dalam sejarah Blue Warriors adalah detik yang membanggakan bagi semua yang terbabit. Ia bukan sekadar mengenai kemenangan itu sendiri, tetapi perjalanan yang dilalui oleh pasukan ini, peningkatan yang mereka tunjukkan serta impak yang diberikan.

“Apabila kami menyokong pasukan seperti Blue Warriors, kami bukan sekadar menyokong barisan pemain, tetapi membina budaya kecemerlangan,” katanya.

Jelas Selvakumar, sukan bukan sekadar soal persaingan, tetapi ia menawarkan pilihan untuk barisan pemain mengelakkan pengaruh negatif seperti terbabit dengan jenayah serta meningkatkan potensi diri.

“Sukan mempunyai aura untuk memastikan belia kita terbabit dalam aktiviti yang bermanfaat. Dengan memberi peluang kepada mereka untuk beraksi, kita bukan sahaja meningkatkan kesihatan fizikal mereka, tetapi juga membantu membentuk disiplin tinggi serta kerja berpasukan.

“Sukan benar-benar boleh menjadi satu cara untuk mencegah jenayah dan masalah sosial lain, dan itulah sebabnya saya sangat berminat dengan dunia sukan,” katanya.

Selvakumar berkata, kejayaan Blue Warrios adalah permulaan dan beliau akan terus membantu serta memberi sokongan yang termampu dalam dunia sukan.

“Matlamat saya bukan hanya untuk menyokong pasukan ketika menang. Saya ingin mewujudkan suasana di mana golongan muda mempunyai akses kepada sukan dari peringkat akar umbi.

“Sama ada ia pasukan hoki tempatan atau pemain bola sepak remaja di pekan kecil, saya mahu memastikan mereka mempunyai platform, sumber dan sokongan yang diperlukan untuk berjaya. Sukan boleh mengubah kehidupan, dan saya ingin menjadi sebahagian daripada perubahan itu,” katanya.

Blue Warriors melakar sejarah bulan lalu selepas memenangi Piala Sumbangsih, kejuaraan liga serta Piala Vivian May Soars.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top