am@hmetro.com.my
Alor Setar: Dua remaja lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas Perodua Myvi dinaiki hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang jalan raya di Tanjung Bendahara, di sini malam ini.
Difahamkan, kesemua remaja terbabit berusia 18 tahun dan dipercayai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.28 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulkiflee Mat Esa tiba di lokasi bersama lapan anggota.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki lima remaja lelaki dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azizul Hakim berkata, terdapat dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kemalangan.
Beliau berkata, dua lagi mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) oleh EMRS Bomba manakala seorang lagi dihantar dengan ambulans KKM ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
“Tindakan awal di lokasi adalah dengan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan resque khas.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan kerja-kerja pembersihan masih dilakukan di kawasan kemalangan ketika ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd