LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) komited untuk mewujudkan ekosistem bola sepak yang lebih kukuh pada masa depan menerusi amalan Financial Fair Play (FFP) yang telus.
Usaha mempromosi prosedur terbaik dalam pengurusan kewangan kelab bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) itu juga akan dipergiatkan selaras dengan peraturan FFP yang baharu untuk musim 2025/26.
Perkembangan tersebut dikongsi oleh MFL yang menganjurkan bengkel dalam talian mengenai FFP bersama pegawai kewangan daripada semua kelab Liga Super pada Rabu.
“Ia bagi memberi penerangan mengenai peraturan dan keperluan terkini untuk Liga-M musim depan. Ia juga bagi memastikan semua kelab mendapat maklumat yang lengkap dan bersedia untuk garis panduan FFP ini,” kata MFL dalam satu kenyataan.
Bengkel dalam talian itu dihadiri oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Shazli Shaik Mohd, Ketua Unit FFP, Vijash Naidu dan Pegawai Kewangan dari Unit FFP MFL, Ishvinder Singh yang bertindak sebagai moderator.
“Bengkel ini memberi gambaran ringkas mengenai peraturan FFP yang baharu termasuk had gaji, langkah-langkah pengurusan kewangan lebih adil dan faktor pematuhan utama yang lain.
“Peraturan ini bertujuan meningkatkan ketelusan kewangan, kelangsungan dan keadilan dalam kalangan semua kelab yang bermain dalam Liga-M pada masa akan datang,” kata kenyataan itu.
MFL mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai kewangan kelab Liga Super atas penyertaan aktif mereka dan berharap dapat bekerjasama untuk memastikan pelaksanaan yang lancar bagi garis panduan FFP yang baharu bagi musim akan datang.
“Bengkel FFP secara fizikal yang lebih terperinci seterusnya akan diadakan bersama semua CEO dan pegawai kewangan (FO) kelab pada April ini,” katanya.