London: Thibaut Courtois dan Antonio Rudiger dijangka kembali beraksi bersama Real Madrid pada aksi getir peringkat kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Atletico Madrid, awal pagi Khamis ini.
Penjaga gol utama Courtois dan tonggak pertahanan Rudiger kedua-duanya dilihat kembali berlatih semalam selepas tidak beraksi ketika menang 2-1 ke atas Rayo Vallecano kelmarin yang meletakkan Madrid di tempat kedua LaLiga.
Rudiger dilanda selesema manakala Courtois menghadapi apa yang digambarkan oleh pengurus Carlo Ancelotti sebagai masalah kecil.
Namun, Ancelotti berpendapat kedua-dua pemain akan cergas untuk perlawanan di Stadium Metropolitano. Beliau juga menegaskan Jude Bellingham yang dikeluarkan ketika menentang Vallecano tiada kaitan dengan kecederaan.
Ini bermakna dia akan kekal dalam kesebelasan utama selepas terlepas aksi ketika menang tipis 2-1 ke atas Atletico Madrid di Santiago Bernabeu minggu lalu akibat penggantungan.
Situasi itu menyebabkan Brahim Diaz hanya memanaskan bangku simpanan walaupun menjaringkan gol pada perlawanan pertama. Namun Eduardo Camavinga juga boleh dikeluarkan dari kesebelasan utama untuk Ancelotti mencari keseimbangan yang tepat.
Selebihnya, skuad yang diturunkan pada Khamis ini hampir sama dengan perlawanan pertama, dengan Raul Asencio menjadi pilihan berbanding David Alaba manakala Federico Valverde kekal di posisi bek kanan susulan prestasi mantap minggu lalu.
Bagi Atletico, persiapan mereka untuk aksi kedua turut berdepan masalah selepas Clement Lenglet mengalami kecederaan lebih awal sebelum mereka tewas mengejut 1-2 di tangan Getafe, kelmarin manakala tonggak utama Rodrigo De Paul terpaksa dikeluarkan selepas rehat.
© New Straits Times Press (M) Bhd