ICC tahan Rodrigo Duterte

ICC tahan Rodrigo Duterte


The Hague: Bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte ditahan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Rabu, menurut kenyataan mahkamah itu, lapor Agensi Anadolu.

Media tempatan melaporkan bahawa penyokongnya berkumpul di pusat tahanan Scheveningen di The Hague, Belanda, sambil mengibarkan bendera Filipina dan menyanyikan lagu kebangsaan.

Selepas mengumumkan penahanannya, ICC menyatakan bahawa mahkamah mendapati “terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa Duterte bertanggungjawab secara individu sebagai rakan subahat tidak langsung dalam jenayah terhadap kemanusiaan berupa pembunuhan, yang didakwa dilakukan di Filipina antara 1 November 2011 dan 16 Mac 2019.”

Mahkamah turut menyatakan bahawa terdapat “alasan munasabah untuk mempercayai bahawa beliau, bersama dan melalui individu lain, bersetuju untuk membunuh individu yang mereka kenal pasti sebagai suspek jenayah atau mereka yang mempunyai kecenderungan jenayah, termasuk tetapi tidak terhad kepada pesalah dadah, pada awalnya di Davao (selatan Filipina) dan kemudian di seluruh negara.”

Satu pendengaran akan dijadualkan dalam masa terdekat bagi membolehkan Duterte membuat penampilan pertama di mahkamah, termasuk menentukan bahasa yang akan digunakan sepanjang prosiding.

“Mahkamah juga akan memastikan bahawa Duterte dimaklumkan mengenai jenayah yang didakwa dilakukan serta hak-haknya di bawah Statut Rom, iaitu perjanjian penubuhan mahkamah ini,” menurut kenyataan itu.

Pendaftar ICC Osvaldo Zavala Giler turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Filipina “atas komitmen mereka dalam menegakkan mekanisme akauntabiliti antarabangsa, serta pihak berkuasa Negara Tuan Rumah, Belanda, atas kerjasama dan sokongan mereka.”

Duterte dibawa menaiki pesawat yang dicarter ke The Hague pada Selasa untuk menghadapi perbicaraan selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila sekembalinya dari Hong Kong. Pesawat itu singgah di Dubai sebelum meneruskan perjalanan ke The Hague.

Naib Presiden Filipina Sara Duterte, anak kepada bekas pemimpin itu, turut berlepas ke The Hague pada Rabu bagi membantu mengatur pasukan guaman bapanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top