Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan tradisinya berkongsi rezeki bersama warga institusi pendidikan serta komuniti setempat menerusi Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) 2025.
Program itu berlangsung pada 5 hingga 20 Mac depan di 15 institusi pendidikan termasuk universiti awam, politeknik, kolej komuniti serta sekolah terpilih di seluruh negara.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata IMRAN adalah program signature di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN sejak 2021 bertujuan mengeratkan ukhwah silaturahim serta hubungan baik antara PTPTN dan institusi pendidikan.
Pada masa sama, katanya, program CSR itu memupuk nilai-nilai kebersamaan dan kasih sayang dalam masyarakat.
“Program IMRAN bukan sekadar membantu pelajar dan komuniti yang memerlukan, tetapi juga mengukuhkan hubungan kekeluargaan PTPTN dengan institusi pendidikan melalui kerjasama erat.
“Melalui program ini, warga PTPTN, pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru dan kakitangan institusi pendidikan akan bergotong-royong menyediakan bubur lambuk, bubur manis atau juadah berbuka puasa untuk diagihkan kepada pelajar dan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian dan pelepasan Program IMRAN di Menara PTPTN, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Norliza berkata, dianggarkan lebih 10,000 masyarakat serta pelajar akan menerima juadah berbuka puasa yang akan diagihkan pada tahun ini.
“Diharapkan sumbangan PTPTN ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan di bulan Ramadan ini.
“PTPTN berharap kolaborasi seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan supaya lebih ramai pelajar serta masyarakat turut serta dan mendapat manfaat.
IMRAN bermula di UNIMAP
Norliza (tiga dari kiri) bersama Naib Canselor UNIMAP, Prof Dato Dr Ts Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad membantu menyediakan persiapan berbuka puasa.
Program IMRAN bermula di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) sebagai lokasi pertama dengan aktiviti Iftar bersama Warga UNIMAP pada 5 Mac.
Menariknya, tradisi menyantuni warga universiti diteruskan dengan Naib Canselor dan Pengerusi PTPTN sendiri membantu menceduk juadah, beramah mesra dengan pelajar yang berada di kanopi dan menyapa mereka yang berbuka di hamparan tikar di laman Taman Harum Manis.
Program IMRAN diteruskan di Kolej Komuniti Sungai Petani, Kedah pada keesokan harinya dengan berkonsepkan gotong-royong menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada pelajar dan masyarakat setempat.
Sebanyak 1,200 pek bubur lambuk diagihkan kepada penduduk sekitar yang melalui Jalan Persiaran Chempaka berhadapan Kolej Komuniti Sungai Petani dan juga berhadapan Pejabat PTPTN Cawangan Sungai Petani. Edaran juga dibuat secara pandu lalu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PLUS di Plaza Tol Sungai Petani Utara.
Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad, mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai yang melalui Plaza Tol Sungai Petani Utara.
Gotong-royong memasak
Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid turut membantu menyediakan bubur lambuk pada Program IMRAN di SK Kampung Bahagia, Teluk Intan Perak.
Pada 8 Mac lalu, IMRAN disemarakkan lagi di Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia, Teluk Intan. Pejabat PTPTN Cawangan Perak memilih Teluk Intan sebagai lokasi penganjuran pada tahun ini.
Ia membabitkan aktiviti gotong-royong memasak lima kawah bubur lambuk dengan penyediaan 1,000 pek yang kemudiannya diedarkan kepada orang ramai, anggota keselamatan dan petugas kesihatan yang bertugas.
Menariknya, gotong-royong memasak itu membabitkan pertandingan lima penjuru antara warga pendidik SK Kampung Bahagia dengan diketuai oleh Guru Besar; PIBG, SK Kampung Bahagia; Kumpulan Penggerak Ibu-bapa Komuniti dan Swasta-Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak (KPIBKS); Persatuan Muslimah Al Medina Teluk Intan dan Kumpulan Imarah Masjid Melayu Teluk Intan (Ki-MMTI).
Agihan bubur lambuk turut diedarkan di Menara Condong Teluk Intan kepada pengunjung dan masyarakat setempat.
Isnin lalu, Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang telah menjadi lokasi bagi pelaksanaan program IMRAN di Pulau Pinang membabitkan 150 petugas iaitu 70 pelajar dan 50 kakitangan politeknik serta 30 kakitangan PTPTN. Agihan itu turut diedarkan oleh Pengerusi PTPTN.
Program IMRAN ini diadakan di Pusat Islam An-Nur Politeknik Seberang Perai bermula seawal jam 8 pagi dengan gotong-royong memotong bawang, daging dan lain-lain bahan, memasak dan pembungkusan 1,000 bekas bubur lambuk.
Bagi menambahkan lagi keenakan bubur lambuk yang disediakan, daging gearbox menjadi salah satu bahan dan menjadi satu keunikan bagi resipi bubur lambuk di sini.
Program IMRAN tidak terhenti di situ sahaja tetapi akan diteruskan ke lain-lain negeri bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan.
© New Straits Times Press (M) Bhd