Chong Wei, Khabib calon duta sukan Johor

Chong Wei, Khabib calon duta sukan Johor


DATUK Lee Chong Wei antara legenda sukan global yang berada dalam kotak fikiran Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail untuk dilantik sebagai duta sukan negeri selatan tanah air tersebut.

Selain legenda badminton negara itu, beberapa atlet bertaraf dunia turut berada dalam senarai baginda bagi memacu program pembangunan sukan dan belia di Johor.

Turut tersenarai ialah beberapa nama besar sukan dunia termasuk Sonny Bill Williams, Khabib Nurmagomedov dan Tim Cahill.

Menurut Tunku Ismail, perkara itu membuktikan bahawa fokus baginda bukan kepada pembangunan bola sepak semata-mata, sebaliknya terhadap semua jenis sukan di negeri tersebut.

“Saya ingin menekankan bahawa program belia yang saya usahakan tidak hanya tertumpu kepada bola sepak, tetapi membabitkan semua sukan termasuk badminton, bola keranjang, tinju dan ragbi.

“Sebagai contoh, Insya-ALLAH Chong Wei akan dilantik sebagai penasihat badminton Johor, Sonny Bill akan bertindak sebagai penasihat ragbi dan menjadi duta sukan Johor.

“Kami mempunyai ramai lagi ikon sukan seperti Cahill dan Khabib yang akan membuka gimnasium di sini,” kata baginda.

Tunku Mahkota Ismail yang turut dikenali sebagai TMJ berkata demikian ketika sesi soal jawab dengan peminat Johor Darul Ta’zim (JDT) di Cafeteria JDT berbincang isu-isu terkini sukan tempatan.

Baginda menjelaskan bahawa perkara itu turut dipersetujui oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyatakan negeri berkenaan perlu mempunyai lebih banyak ikon sukan.

“Kesemua mereka adalah duta sukan dan ikon Johor dengan banyak program dirancang akan diperkenalkan untuk belia Johor,” kata Tunku Mahkota Ismail.

Sebagai rekod, JDT sudah berkembang bukan sekadar kelab bola sepak, namun melebarkan sayap dalam pelbagai sukan seperti futsal, hoki ais dan tinju yang dikendalikan oleh Mohd Fakhan Haron.

Jenama besar itu turut memiliki pasukan yang beraksi dalam kancah perlumbaan antarabangsa menerusi bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).



Source link

OR

Scroll to Top