MELAKA: Pencemaran Sungai Lereh di sini semakin tidak terkawal susulan 11 lagi aduan dibuat oleh komuniti setempat terutama nelayan bagi tempoh November tahun lalu hingga awal bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, kekerapan pencemaran yang berlaku sebenarnya lebih tinggi tetapi tidak dilaporkan kerana berskala kecil.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan air sungai tersebut berbau busuk dan berwarna hitam serta dipercayai mampu memudaratkan nelayan.
“Para nelayan mendakwa mereka mengalami gatal dan penyakit kulit setelah bersentuhan dengan air sungai tercemar ini. Beberapa kawasan telah disyaki sebagai punca berlakunya masalah ini termasuk sebuah tapak pelupusan di Sungai Udang.
“Saya difahamkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka telah selesai menganalisis sampel air sungai tetapi butiran lanjut tidak boleh didedahkan. Tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat dijangka dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan Sungai Lereh, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Komuniti Nelayan Sungai Lereh, Zahnudin Aluwi berkata, pencemaran yang berlaku sejak 2023 sangat menjejaskan sumber pendapatan nelayan.
Menurutnya, beberapa spesies hidupan seperti ikan belanak dan udang galah semakin sukar membiak dalam persekitaran yang tercemar.
“Sebelum ini nak tangkap udang galah dan ikan belanak sangat mudah. Tetapi kini jumlahnya semakin berkurangan disebabkan keadaan air yang tidak lagi sesuai untuk ikan bertelur,” ujarnya. – UTUSAN