sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mendedahkan bahawa mereka hampir menarik diri sebelum perlawanan suku akhir Seluruh England menentang pasangan Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama, hari ini.
Ia susulan kecederaan buku lali yang dialami Pearly ketika aksi pusingan kedua menentang beregu Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti, semalam.
“Secara jujur, pagi ini kami memang sudah bersedia untuk tarik diri.
“Masa pergi ke gelanggang pun, kami tidak betul-betul memanaskan badan, asyik berbual dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Namun, ini Seluruh England, rasa rugi kalau tidak main,” kata Thinaah ketika ditemubual Astro Arena selepas tamat perlawanan, hari ini.
Jelas Thinaah, sebelum perlawanan mereka hanya merancang untuk bermain dua atau tiga mata sahaja bagi mencuba keadaan Pearly di gelanggang.
“Semakin bermain, semakin gembira. Paling penting, dia (Pearly) tidak rasa sakit.
“Kami sudah berjanji, kalau dia sakit, kami akan hentikan perlawanan. Saya tahu saya akan lebih letih, tetapi siapa sangka kami boleh habiskan perlawanan hari ini,” jelasnya.
Meskipun berdepan dengan kekangan fizikal, pasangan ini tetap turun ke gelanggang dan memberikan saingan sengit kepada lawan dari Jepun itu.
Namun, cabaran mereka akhirnya terhenti selepas tewas 17-21, 19-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama 41 minit.
Kekalahan Pearly-Thinaah itu menyaksikan buat kali keempat mereka terkandas di suku akhir dalam lima penampilan di Seluruh England termasuk pada edisi 2021, 2022 dan 2024.
Pada edisi 2023, pasangan itu terpaksa pulang awal apabila terkandas di pusingan pertama.
Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil beregu wanita di separuh akhir kejohanan berprestij itu adalah menerusi gandingan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty pada 2007.
© New Straits Times Press (M) Bhd