PEP Guardiola memberi amaran bahawa Brighton & Hove Albion bukan satu-satunya pasukan yang mampu menggagalkan impian Manchester City untuk layak ke kejohanan Eropah musim depan.
Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), City kini berada di tangga kelima liga hanya satu mata di atas Brighton yang menduduki tempat ketujuh.
Dengan jurang hanya tujuh mata memisahkan Chelsea di tangga keempat dan Fulham di tangga ke-10, saingan untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara semakin sengit.
Guardiola memuji kebangkitan pasukan pertengahan liga seperti Brighton yang berjaya mencabar kedudukan teratas musim ini.
Ketika ditanya sama ada beliau menganggap pasukan dari pantai selatan itu sebagai pesaing pada Sabtu ini, Guardiola berkata, “Dan Bournemouth, Aston Villa, Newcastle United, dan mungkin Fulham. Pasukan-pasukan yang hebat.”
“Ia bukan satu kejutan. Saya merasakan mereka layak berada di sini. Mereka sangat bagus, konsisten, dan memiliki senjata yang luar biasa dalam cara mereka bermain,” katanya.
Sebagai rekod, sasaran awal City adalah untuk merangkul gelaran liga buat kali kelima berturut-turut, namun harapan penyandang juara itu goyah akibat beberapa persembahan kurang memuaskan.
Anak buah Guardiola juga tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Real Madrid bulan lalu, menjadikan kelayakan ke pertandingan elit Eropah itu sebagai sasaran utama mereka musim ini.
Kekalahan 0-1 kepada Nottingham Forest minggu lalu menambah lagi tekanan kepada City.
“Jika kami berjaya layak ke Liga Juara-Juara, ia akan menjadi satu kejayaan besar dari sudut pandangan saya. Ada musim-musim yang perlu dilalui seperti ini.
“Ia berada di tangan kami, bergantung kepada prestasi dan permainan kami sama ada kami akan berada di Liga Juara-Juara atau tidak,” kata Guardiola.
Mengenai kekecewaan akibat tersingkir awal dari Liga Juara-Juara, Guardiola berkata: “Saya tidak mempunyai kekecewaan atau penyesalan.
“Sejujurnya, kami tidak layak berada di sana. Nikmati bola sepak, perlawanan-perlawanan hebat di Anfield atau Paris, persaingan di Madrid, betapa bagusnya Barcelona bermain sepanjang musim, cara mereka bermain selama 65, 70 minit menentang Benfica.
“Saya hanya seorang penonton yang belajar, melihat, menikmatinya, dan sama sekali tidak mempunyai perasaan, ‘Sayang sekali Manchester City tidak berada di sana’.” ujarnya.
LIGA PERDANA INGGERIS
SABTU (15 MAC)
Everton lwn West Ham United, 11 malam
Southampton lwn Wolverhampton, 11 malam
Ipswich Town lwn Nottingham Forest, 11 malam
Manchester City lwn Brighton, 11 malam
AHAD (16 MAC)
Bournemouth lwn Brentford, 1.30 pagi
Arsenal lwn Chelsea, 9.30 malam
Fulham lwn Tottenham, 9.30 malam
ISNIN (17 MAC)
Leicester City lwn Manchester United, 3 pagi