Program Tuisyen Asnaf UMT-Etiqa Masuk Musim Keempat

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Program Asnaf to Asnaf (A to A), inisiatif tuisyen komuniti anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Etiqa Family Takaful Berhad, kini memasuki musim keempat dengan penjenamaan baharu sebagai Tuisyen Komuniti Etiqa.

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, program itu terus diperluaskan bagi membantu lebih ramai pelajar sekolah rendah dan menengah yang memerlukan bimbingan akademik, khususnya dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira (3M).

“Program ini telah memberi impak positif bukan sahaja kepada pelajar sekolah, tetapi juga kepada mahasiswa UMT yang terlibat sebagai tenaga pengajar. Dengan dana tajaan sebanyak RM365,400.00 daripada Etiqa Family Takaful Berhad, program ini dapat menyediakan modul pembelajaran, latihan intensif, serta analisis data untuk menambah baik keberkesanan tuisyen ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Ihsan Ramadan dan Peluncuran Program Asnaf to Asnaf di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.

Tambah beliau, tajaan daripada Etiqa turut merangkumi RM10,000.00 dana zakat untuk membantu pelajar asnaf UMT, RM10,000.00 duit raya kepada 200 pelajar serta RM5,000.00 bagi penyediaan iftar percuma kepada 200 pelajar asnaf.

“Dengan sokongan berterusan daripada rakan strategik seperti Etiqa, UMT terus komited memperkasakan pendidikan komuniti dan memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan negara,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Etiqa turut mengukuhkan kerjasama dengan UMT melalui projek Etiqa Wakaf Boardwalk iaitu inisiatif pemeliharaan ekosistem paya bakau yang bertujuan untuk pemuliharaan biodiversiti serta sebagai platform kesedaran konservasi alam sekitar.

Majlis turut menyaksikan kehadiran CEO Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim, bersama pasukan kelestarian syarikat bagi meninjau tapak projek tersebut.

Dikeluarkan oleh :

Oleh Amirul Salam Hasan
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu

 

OR

Scroll to Top