Pecah Amanah peguam bikin rugi RM62.68j

Pecah Amanah peguam bikin rugi RM62.68j



harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jumlahnya bukan sedikit apabila sebanyak RM62.68 juta kerugian dicatatkan sepanjang 2024 membabitkan 62 kes pecah amanah oleh peguam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah kerugian itu mencatatkan peningkatan 77 peratus berbanding tahun 2023 sebanyak RM29.27 juta.

Menurutnya, perkara itu mungkin terjadi kerana ada antara peguam terbabit merasakan mereka kebal daripada tindakan undang-undang.

“Berdasarkan siasatan, kes-kes yang lazimnya membabitkan pecah amanah jenayah oleh peguam adalah melibatkan urusan jual beli hartanah (tanah, bangunan, rumah), kes tuntutan sivil dan seumpamanya.

“Secara keseluruhannya isu utama dalam kes pecah amanah jenayah oleh peguam adalah melibatkan penggunaan wang amanah pelanggan yang disimpan di akaun klien firma guaman berkenaan,” katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Menurutnya, dalam kes pecah amanah berkenaan, hampir semua peguam yang disiasat merupakan individu berdaftar di bawah Majlis Peguam Malaysia.

Katanya, sukar untuk menentukan dengan tepat punca mangsa atau anak guam berkenaan terpedaya berikutan senario penipuan membabitkan peguam berbeza dengan kes penipuan lain yang lazimnya lebih mudah untuk dicegah.

Ramli berkata, individu yang mendapatkan perkhidmatan guaman sudah pastinya meletakkan kepercayaan tinggi kepada peguam berkenaan, justeru pengamal undang-undang perlu berintegriti.

“Kebanyakan mangsa boleh dikatakan jarang atau kali pertama berurusan dengan peguam berkenaan sekali gus memberi gambaran mereka tidak mengetahui latar belakang peguam terbabit.

“Justeru, tiada satu faktor yang jelas untuk mengatakan mengapa mangsa boleh terpedaya dengan peguam yang mereka lantik kerana perlakuan jenayah oleh peguam ini adalah amat subjektif dan berkait rapat dengan tahap integriti peguam terbabit.

“Sikap segelintir peguam yang mengkhianati kepercayaan yang diberi adalah tak ubah seperti ‘harapkan pegar, pegar makan padi,” katanya.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia menerusi JSJK memberi sokongan penuh kepada komitmen Majlis Peguam Malaysia yang dilihat semakin serius dalam menangani isu pecah amanah membabitkan peguam.

Bagaimanapun, katanya, PDRM tetap konsisten dengan saranan supaya diwujudkan dua penandatangan bagi akaun pelanggan yang dibuka bagi mengelak penipuan.

“Ini bertujuan untuk memberikan akses kepada pelanggan dalam menyemak keberadaan wang milik mereka.

“Ingin ditegaskan, perlakuan jenayah dalam kalangan pengamal undang-undang satu perkara yang perlu dipandang serius memandangkan mereka adalah rujukan masyarakat dalam perihal perundangan,” katanya.

Wanita rugi RM360K ditipu firma guaman

Seorang wanita warga emas terpaksa berputih mata akibat ditipu sebuah firma guaman sehingga kerugian RM360,000 dalam urusan jual beli hartanah di Cheras, di sini.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Ng, 71, berkata, urusan jual beli itu berlaku pada pertengahan tahun 2023.

“Hartanah itu terjual dan pada Julai 2023, kami menandatangani perjanjian jual beli (SPA) antara saya sebagai pemilik dan pihak pembeli bagi memuktamadkan urusan jual beli berkenaan.

“Selepas melalui beberapa proses, peguam terbabit memaklumkan bank pembeli membuat pemindahan wang ke dalam akaun lama firma berkenaan walaupun sudah dimaklumkan berhubung pertukaran akaun baharu.

“Pada Mac 2024, peguam berkenaan memberi alasan bank terbabit memerlukan kebenaran daripada ibu pejabat untuk memindahkan wang baki jualan,” katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Menurutnya, peguam terbabit kemudian memberi alasan akaun syarikat mereka dikenakan perintah injunksi oleh mahkamah dan dibekukan.

Katanya, selepas beberapa bulan berlalu, dia masih tidak menerima bayaran daripada pihak firma guaman terbabit malah semakin banyak alasan yang diberikan.

Ng berkata, dia kemudian buat keputusan untuk melantik firma guaman baharu dan hasil semakan lanjut mendapati alasan yang diberikan oleh peguam berkenaan tidak benar.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top