Almada meraikan golnya ketika menentang Uruguay Kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan 2026.
JARINGAN tunggal Thiago Almada memastikan juara dunia, Argentina mencatat kemenangan 1-0 ke atas Uruguay dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Amerika Selatan (CONMEBOL) di Stadium Centenario, Montevideo.
Argentina, yang turun sebagai pasukan pilihan, dilihat seakan-akan berkongsi mata selepas perlawanan sengit menentang pasukan tuan rumah bimbingan Marcelo Bielsa.
Sebagai rekod, Argentina kendalian Lionel Scaloni sebelum ini tewas 0-2 kepada Uruguay dalam aksi di Stadium La Bombonera, Buenos Aires.
Percubaan Almada, penyerang berusia 23 tahun yang beraksi untuk kelab Ligue 1 Perancis, Lyon secara pinjaman dari pasukan Brazil, Botafogo, menewaskan penjaga gol Uruguay, Sergio Rochet pada minit ke-68 dan menjadi pemisah kepada kedua-dua pasukan dalam perlawanan ini.
Argentina kini mendahului saingan kelayakan 10 pasukan Amerika Selatan dengan 28 mata daripada 13 perlawanan, enam mata di hadapan Ecuador di tempat kedua, manakala Brazil di kedudukan ketiga dengan 21 mata.
Uruguay pula berada di tangga keempat dengan 20 mata daripada 13 perlawanan, hanya di depan Paraguay di tempat kelima berdasarkan perbezaan jaringan.