Piala Dunia ISTAF: Malaysia raih gangsa acara double lelaki

Piala Dunia ISTAF: Malaysia raih gangsa acara double lelaki


Noraizat Nordin (kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (kiri) gagal mempertahankan gelaran juara dalam acara double lelaki apabila tumbang kepada musuh tradisi Thailand 2-1 di peringkat separuh akhir.

HASRAT skuad sepak takraw negara untuk mempertahankan gelaran Piala Dunia ISTAF dalam acara double lelaki tidak kesampaian apabila tumbang kepada musuh tradisi Thailand 2-1 di peringkat separuh akhir di Bihar, India, hari ini.

Malaysia yang diwakili Aidil Aiman Zawawi, Shahril Aiman dan Noraizat Nordin berjaya bangkit selepas tewas pada set pertama 9-15 untuk mencatat kemenangan pada set kedua 17-15.

Bagaimanapun, momentum tersebut gagal diteruskan di set penentuan apabila skuad negara tewas tipis 15-17 kepada seteru utama mereka, sekali gus terlepas peluang untuk beraksi di perlawanan akhir.

Kegagalan ini menyaksikan skuad kendalian Zulkarnain Arif tidak dapat menyamai pencapaian gemilang tahun lalu apabila muncul juara dalam acara tersebut.

Namun begitu, skuad negara tetap membawa pulang pingat gangsa, satu pencapaian yang wajar dibanggakan.

Pada edisi 2024 di Kuala Lumpur tahun lepas, Aidil-Noraizat mencatat kemenangan 17-16, 15-13 ke atas gandingan Thailand Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut dalam final double untuk merangkul pingat emas. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top