PENGENDALI England, Thomas Tuchel, menegaskan Jude Bellingham perlu lebih berdisiplin dan efisien supaya impaknya di padang lebih maksimum, terutama dalam saat-saat genting perlawanan.
Menurut Tuchel, pemain tengah berbakat The Three Lions itu sentiasa bersedia memberikan segala-galanya, tetapi perlu bermain dalam struktur pasukan bagi mengekalkan konsistensi dan keberkesanan.
“Ya, dia sentiasa bersedia memberikan segalanya, tetapi kita perlu membantunya agar dalam struktur pasukan, dia boleh bermain lebih efisien dan tetap mempunyai impak sama, atau mungkin lebih besar,” katanya.
“Kita juga perlu memastikan dia adalah seorang pemimpin dan pemain utama yang bergerak dalam rentak sama dengan pasukan. Dan mungkin selepas ini, dia perlu lebih berdisiplin untuk menyimpan tenaga bagi detik-detik penentu pasukan,” tambah Tuchel lagi.
Sebagai rekod, pemain berusia 21 tahun itu telah menjaringkan 11 gol untuk Real Madrid musim ini dan enam gol dalam 41 penampilan antarabangsa bersama England.
Bellingham juga menjadi watak penting England dalam aksi Kelayakan Piala Dunia, apabila membantu gol pembukaan Myles Lewis-Skelly dalam kemenangan 2-0 ke atas Albania di Wembley, Jumaat lalu.
Pemain tengah itu turut memainkan peranan utama dalam kempen Euro 2024 di Jerman, sebelum England tewas kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir.
Tuchel turut mengakui bahawa Bellingham sentiasa mahu terlibat dalam setiap aspek permainan pasukan.
“Dia suka bercakap dengan pengadil dan pembantu pengadil. Dia pemain yang sangat emosional apabila berada di padang, dan anda dapat melihat bahawa dia benci kalah serta melakukan segala yang diperlukan untuk menang,” ujar Tuchel.
KELAYAKAN PIALA DUNIA 2026
ZON EROPAH
25 MAC (SELASA)
Lithuania lwn Finland, 1 pagi
England lwn Latvia, 3.45 pagi
Albania lwn Andorra, 3.45 pagi
San Marino lwn Romania, 3.45 pagi
Bosnia lwn Cyprus, 3 pagi
Poland lwn Malta, 3.45 pagi