Karetsas, 17 tahun muncul penjaring gol termuda Greece ketika menjinakkan Scotland di Hampden Park.
SCOTLAND terlepas peluang untuk beraksi di Liga A Liga Negara-Negara Eropah musim depan setelah tewas 0-3 kepada Greece dalam perlawanan timbal balik playoff di Stadium Hampden Park pada Isnin, sekaligus menang agregat 3-1.
Scotland sebelum itu mempunyai kelebihan kemenangan 1-0 selepas menang di perlawanan pertama di Stadium Karaiskakis pada Jumaat lalu, hasil jaringan sepakan penalti Scott McTominay.
Namun, kelebihan itu lenyap apabila Giannis Konstantelias menyambar hantaran lintang sempurna pada minit ke-20 bagi menyamakan agregat.
Tiga minit sebelum rehat, Hampden Park sunyi sepi apabila Konstantinos Karetsas, 17, menggandakan kelebihan Greece dengan rembatan melencong kaki kiri yang tenang, tanpa dikawal di dalam kotak penalti.
Mimpi ngeri Scotland berterusan 20 saat selepas rehat apabila Greece menambah gol ketiga menerusi Christos Tzolis, yang tanpa dikawal setelah menerima hantaran sempurna.
Di Budapest, Turkiye melangkah ke Liga A dengan kemenangan 3-0 ke atas Hungary, sekaligus menang agregat 6-1.
Hakan Calhanoglu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-37, diikuti Arda Guler dua minit kemudian. Abdulkerim Bardakci menambah gol ketiga pada masa tambahan aksi di Puskas Arena
Serbia turut mengesahkan tempat di Liga A selepas menang 2-0 di laman sendiri ke atas Austria, dengan Nemanja Maksimovic dan Dusan Vlahovic menjaringkan gol.
Austria pula terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Gernot Trauner dibuang padang di Stadium Red Star, Belgrade itu.
Georgia tidak menghadapi masalah untuk kekal di Liga B apabila membelasah Armenia 6-1 di Boris Paichadze Dinamo Arena, untuk menang agregat 9-1.
Kosovo pula berjaya naik ke Liga B selepas menang 3-1 ke atas Iceland di Estadio Nueva Condomina untuk kemenangan agregat 5-2.
Pertarungan Slovenia dan Slovakia di Stadium Stozice untuk promosi ke Liga B terpaksa ditentukan menerusi masa tambahan menyaksikan kemaraan 1-0 Slovenia selepas kedua-dua perlawanan berakhir tanpa jaringan.