Red Bull goyang, mesyuarat kecemasan, Lawson mungkin gugur

Red Bull goyang, mesyuarat kecemasan, Lawson mungkin gugur


RED Bull bakal mengadakan mesyuarat kecemasan minggu ini susulan permulaan hambar Formula Satu (F1) musim 2025.

Pemandu Red Bull, Max Verstappen kini menduduki tempat kedua dalam kejuaraan dunia F1, di belakang Lando Norris dari McLaren.

Juara dunia empat kali itu menamatkan perlumbaan pembuka tirai musim di GP Australia di tempat kedua, namun hanya mampu meraih tempat keempat dalam GP China minggu lalu.

Sementara itu, prestasi Liam Lawson yang merudum telah mendorong Red Bull mempertimbangkan pertukaran pemandu serta-merta seawal perlumbaan seterusnya di GP Jepun.

Lawson masih belum meraih sebarang mata untuk Red Bull selepas terlibat dalam kemalangan di Melbourne.

Dia kemudian menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 di China, setelah memulakan perlumbaan di petak terakhir untuk kedua-dua perlumbaan pecut dan utama.

Biarpun Verstappen hanya ketinggalan lapan mata di belakang Norris, Red Bull berada jauh di tempat ketiga dalam kejuaraan pengeluar, 42 mata di belakang pendahulu, McLaren.

Penasihat sukan permotoran Red Bull, Helmut Marko, mendedahkan selepas GP China, pasukan itu akan mengadakan perbincangan untuk meneliti permulaan sukar pada 2025.

“Minggu ini akan ada mesyuarat di Milton Keynes untuk membincangkan bila dan bagaimana kita boleh merapatkan jurang.

“Sehingga itu, kita perlu mengumpul sebanyak mungkin mata. Kita bimbang, tetapi bukan bermakna kita sudah menyerah kalah,” kata Marko.

Sementara itu, Prinsipal Red Bull, Christian Horner, menegaskan pasukannya perlu mengelak daripada bersikap kalah sebelum berjuang biarpun berdepan kesukaran di China.

“Ini baru perlumbaan kedua. Anda tidak boleh bersikap kalah sebelum berjuang. Maksud saya, kita hanya ketinggalan lapan mata dalam kejuaraan pemandu selepas dua perlumbaan.

“Dan masih banyak yang perlu diperjuangkan. Jika ada pengajaran daripada tahun lepas, ia adalah: anda boleh bermula sekuat mana pun, yang penting adalah bagaimana anda menamatkan musim.

“Kita mempunyai kekuatan dan kedalaman yang hebat dalam pasukan kita. Semua orang dalam syarikat tahu kita perlu mencari sedikit kelajuan dan kita mempunyai alat dan orang yang diperlukan untuk melakukannya. Kita hanya perlu mencari penyelesaiannya,” katanya.

Sementara itu, masa depan Lawson juga mungkin akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut selepas permulaan mengecewakan bersama Red Bull.

Masa depan pelumba Kiwi berusia 23 tahun itu sudah kelihatan terancam di tengah-tengah khabar angin dia mungkin kehilangan tempat duduknya kepada Yuki Tsunoda bermula dari GP Jepun.

Red Bull juga tidak menolak kemungkinan pertukaran pemandu selepas hanya dua pusingan perlumbaan.

Sementara itu, Lawson mengakui semasa GP China, dia tidak mempunyai masa untuk membina keyakinan dengan RB21, satu kenyataan yang dijelaskannya selepas perlumbaan Ahad lalu.

“Maksud saya, kita sudah berada dalam musim perlumbaan. Saya tidak mempunyai masa untuk menguji kereta dan membiasakan diri dengannya, tetapi kita sudah berada dalam musim perlumbaan. Setiap perlumbaan, kita kehilangan mata. Itulah lebih kurang maksud saya apabila saya katakan saya tidak mempunyai masa.

“Tetapi saya juga tidak bodoh, dan saya tahu bahawa saya berada di sini untuk beraksi, dan jika saya tidak melakukannya, saya tidak akan lama di sini. Jadi bagi saya, saya hanya fokus untuk membiasakan diri dengan kereta secepat mungkin,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top