Nak hadiah RM2.96 juta, warga emas rugi lebih RM200,000

Nak hadiah RM2.96 juta, warga emas rugi lebih RM200,000



am@hmetro.com.my

Segamat: Teruja untuk menerima hadiah berjumlah RM2.96 juta, lelaki warga emas kerugian RM218,730 akibat ditipu sindiket berkaitan urusan tuntutan wang kemenangan di luar negara yang tidak wujud.

Pesara berusia 62 tahun itu dilaporkan terpedaya dengan tuntutan itu bermula November 2023, selepas menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai Ho Yee Ting.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, suspek memberitahu mangsa memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM2.96 juta di Hong Kong.

Menurutnya, mangsa teruja dan percaya dengan helah suspek kemudiannya diminta membuat bayaran penyelenggaraan bagi mendapatkan wang kemenangan terbabit.

“Mangsa kemudiannya melakukan 19 transaksi pemindahan wang ke dalam 17 akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek bermula 7 Jun sehingga November tahun lalu berjumlah RM218,730.

“Bagaimanapun, mangsa tidak menerima hadiah seperti dijanjikan selepas memasukkan wang seperti diminta suspek,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, berikutan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, Sabtu lalu, untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Siasatan juga meliputi pembabitan ‘keldai akaun’ dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun jika terbukti mereka terbabit.

“Orang ramai dinasihatkan menggunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun bank suspek,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top