Hidupkan semula tradisi bertuntong di Sarawak

Hidupkan semula tradisi bertuntong di Sarawak


Kuching: Arus kemodenan sedikit sebanyak telah menghakis tradisi bertuntong atau menyalakan punjut atau lampu pelita bagi menghiasi kediaman menjelang Aidilfitri yang dulunya menjadi aktiviti wajib masyarakat Melayu Sarawak.

Sehubungan itu, untuk memulihara warisan tersebut Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah menganjurkan pertandingan bertuntong selama tiga malam bermula Selasa lepas.

Ketua Juri Pertandingan Mohamad Nur Syafiq Mohamad Andai berkata, sejak 10 tahun lepas, DBKU berusaha menganjurkan aktiviti tersebut bagi memastikan tradisi bertuntong yang menggunakan pelita dan lampu tradisional, tidak hilang ditelan zaman.

“Tahun ini, pertandingan bertuntong di kawasan Satok memberi fokus kepada penggunaan lampu cabik (lampu hiasan warna-warni) yang merupakan elemen utama dalam sambutan tradisi ini.

“Tujuan utama kami adalah untuk menggalakkan generasi muda terlibat dalam tradisi ini dan mengingatkan mereka tentang pentingnya memulihara warisan yang semakin kurang diminati, melibatkan penggunaan pelita kerana ia sudah jarang ditemui di kampung-kampung,” katanya kepada Bernama.

Nur Syafiq berkata, aktiviti bertuntong ini juga menjadi platform untuk masyarakat kampung menunjukkan kreativiti mereka melalui hiasan lampu yang kemas dan menarik.

“Setiap tahun, kriteria penilaian dalam pertandingan ini semakin ketat dengan penekanan kepada kekemasan dalam penyediaan lampu cabik serta elemen bertuntong itu sendiri.

“Meskipun pertandingan ini sengit, ia tetap mencerminkan semangat kekitaan dan kerjasama dalam komuniti kampung selain mendapat penyertaan yang menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini hampir 20 rumah rumah dari enam kampung di kawasan Satok iaitu Kampung Bintangor Kecil, Kampung Bintangor Besar, Kampung Muda Hashim, Kampung No. 5, Kampung No. 3 dan Kampung Kudei Baru mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

“Setiap rumah ini dihiasi dengan pelita dan lampu cabik yang menyinari malam, membawa semula kenangan nostalgia sambutan raya dan tradisi bertuntong.

“Ini adalah satu langkah penting dalam mengekalkan warisan yang telah menjadi identiti masyarakat tempatan sejak sekian lama. Harapan saya, dengan penyertaan yang bertambah dari tahun ke tahun, tradisi ini kan terus hidup dalam kalangan generasi akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top