New Delhi: Seramai 21 individu maut, manakala beberapa lagi cedera akibat letupan di sebuah kilang mercun haram di barat India, pada Selasa.
Letupan menyebabkan ketulan batu dan logam terbang jauh dari kompleks kilang di bandar Deesa dekat Gujarat itu.
“Terdapat letupan besar di kilang menyebabkan bumbung konkrit runtuh,” kata jurucakap kerajaan Rishikesh Patel kepada pemberita, mengesahkan banyak kematian dan kecederaan.
“Jumlah individu yang terbunuh dalam kejadian di unit mercun itu kini berjumlah 21 orang,” kata pegawai polis, C L Solanki.
Pegawai tertinggi kerajaan di daerah itu, Mihir Patel berkata, letupan berkenaan sangat kuat sehingga sebahagian mayat mangsa ditemukan bergelimpangan di sebuah ladang 200 hingga 300 meter jauhnya.
‘Menurut Patel, keluarga mangsa tinggal di premis kilang itu yang beroperasi tanpa lesen.
Pihak berkuasa sudah melancarkan siasatan ke atas kejadian itu.
Bunga api sangat popular di India, terutamanya ketika perayaan Deepavali dan digunakan ketika majlis perkahwinan.
Tahun lalu, 11 individu maut dalam letupan kilang bunga api di Madhya Pradesh.
Pada 2019, sekurang-kurangnya 18 individu terbunuh dalam kejadian serupa di Punjab dan 10 lagi maut pada tahun sama di Uttar Pradesh.
© New Straits Times Press (M) Bhd