georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi legenda Datuk DJ Dave, 77, meluangkan masa menziarah dan menyantuni pelakon veteran, Pok Kadir, 93, di kediamannya di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
DJ Dave mengambil kesempatan ke rumah pelakon yang melakonkan watak salah seorang penyamun dalam filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok itu kerana kebetulan ke sana menjayakan persembahan.
“Alang-alang berada di Kelantan, saya ambil peluang untuk menziarah Pok Kadir. Saya ingin melihat perkembangan terbarunya kerana sebelum ini pernah berdepan masalah prostat.
“Alhamdulillah, keadaannya baik dan sihat-sihat saja. Walaupun tidak bercakap banyak, tapi dia masih boleh bersembang, pendengaran pun bagus dan dia terus cam saya. Dia masih boleh bangun.
“Saya ke rumahnya pun atas lawatan peribadi dan beri sikit duit raya. Keadaan rumahnya pun cukup baik sekarang berbanding rumah pondok sebelum ini,” kata penyanyi lagu raya ‘evergreen’ Menjelang Hari Raya ini.
DJ Dave berkongsi kegembiraannya melihat Pok Kadir yang berada dalam keadaan baik dari segi kesihatan mahupun kebajikannya.
“Kami sempat berborak pasal raya dan juga mengimbau semula kenangan era sewaktu dia masih berlakon dulu. Gembira rasanya melihat dia seronok menerima kunjungan itu,” katanya.
Pada April tahun lalu, DJ Dave yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) menyampaikan sumbangan RM12,259.55 kepada pelakon terbabit bagi meringankan bebannya serta menampung kos perubatan.
Selain Ali Baba Bujang Lapok pada 1961, Pok Kadir atau nama sebenarnya, Kadir Mamat turut tampil sebagai pelakon tambahan dalam tiga lagi filem P Ramlee iaitu Pendekar Bujang Lapok (1959), 6 Jahanam (1969) dan Kanchan Tirana (1969).
Dalam Ali Baba Bujang Lapok, watak Pok Kadir ialah sebagai penyamun pertama yang mati selepas disimbah minyak panas oleh Marjina lakonan Datuk Sarimah Ahmad.
© New Straits Times Press (M) Bhd