Sambut seruan KUIS teruskan jihad lawan Zionis-Israel

Sambut seruan KUIS teruskan jihad lawan Zionis-Israel


– Advertisement –

NIBONG TEBAL: Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang menyokong kenyataan serta fatwa dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (KUIS) yang menggesa seluruh umat Islam bangkit menentang kezaliman Zionis-Israel.

– Advertisement –

Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajuddin Abu Bakar berkata, kenyataan dan fatwa KUIS yang merupakan pertubuhan sangat berpengaruh itu perlu disokong oleh semua pemimpin Islam dengan dukungan penuh serta tidak berbelah lagi.

“Seluruh umat Islam juga disarankan agar meneruskan boikot terhadap barangan yang dikeluarkan oleh syarikat yang mempunyai kaitan dengan Zionis.

“Dengan cara demikian secara tidak langsung ia merupakan tekanan yang boleh mengancam kedudukan ekonomi mereka selain menunjukkan solidariti terhadap umat Islam di Palestin,” kata beliau pada kenyataan di sini, hari ini.

Kata Ustaz Ahmad lagi, tindakan sedemikian adalah tanda keprihatinan dan tanggungjawab sebagai umat yang beriman dengan janji Allah SWT bahawa perjuangan ini akan diberikan pertolongan oleh-Nya.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah As-Sajadah (ayat 24) yang bermaksud: “Dan Kami jadikan di antara mereka itu para pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami selama mereka bersabar. Hal itu kerana mereka meyakini ayat-ayat Kami.”

Dalam pada itu beliau menegaskan lagi, Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang juga mengingatkan, isu kekejaman Zionis-Israel bukannya soal agama semata-mata.

Bahkan kata beliau, isu itu menjurus kepada isu kemanusiaan yang patut diberikan perhatian oleh semua kaum dan agama di dalam negara ini, seterusnya membantah kezaliman Zionis dan memberi sokongan buat umat Palestin.

“(Dan) saya menyeru agar seluruh umat Islam mendoakan keselamatan umat Islam di Palestin dan mendoakan kehancuran total buat pengganas Zionis yang zalim serta tidak berperi kemanusiaan yang mendapat sokongan padu daripada kerajaan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu yang lain,” tegasnya lagi.

Justeru, pihaknya juga berpandangan seruan jihad dikumandangkan oleh KUIS dan tokoh-tokoh ulama lain wajar disambut oleh seluruh pemimpin negara Islam dan umat Islam, terutama yang mempunyai kekuatan persenjataan serta sumber kewangan hasil kurniaan oleh Allah SWT di bumi mereka.

“Oleh itu marilah kita bersama-sama menggembleng usaha yang konsisten dan kompeten bagi membebaskan Palestin daripada  penjajahan dan kekejaman Zionis Israel,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 7/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!



Source link

OR

Scroll to Top