IPOH: Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan kes merusuh menggunakan senjata termasuk parang dan pedang samurai dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Meru Bestari dekat Meru Raya di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 41 tahun itu diberkas dalam serbuan berasingan pada pukul 6.45 pagi.
Katanya, dalam tangkapan itu sebuah kereta jenis BMW Model E90 3 Series berwarna putih, sebatang kayu golf dan pengunci stereng kereta berwarna biru dirampas.
“Laporan kejadian itu diterima daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun pada pukul 12.30 tengah malam tadi yang mendakwa telah diserang sekumpulan lelaki menggunakan senjata.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian ekoran perselisihan faham berkaitan motosikal yang dirampas dalam kegiatan lumba haram.
“Dalam kejadian itu, seramai enam mangsa cedera dan menerima rawatan pesakit luar. Senjata yang disyaki digunakan semasa kejadian ialah kayu besbol, parang, pedang samurai, topi keledar dan pisau panjang,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, semakan rekod kesalahan lampau mendapati dua daripada sembilan suspek mempunyai rekod bersabit kes dadah dan jenayah.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing pula mendapati tiga suspek positif dadah jenis benzodiazepin dan seorang lagi suspek positif THC.
“Permohonan reman terhadap empat suspek dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini manakala lima lagi suspek pula ditahan reman sehari untuk siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merusuh menggunakan senjata,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Al Hakim di talian 0111-125 6246. – UTUSAN