MAJLIS Sukan Negeri (MSN) Perak mencipta sejarah apabila menjadi MSN pertama yang mempunyai fasiliti kolam hidroterapi berteknologi tinggi di negara ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kolam hidroterapi bernilai RM1.92 juta itu berjaya disiapkan dengan bantuan kerajaan negeri.
Menurutnya, fasiliti tersebut merupakan satu pelaburan strategik untuk memperkukuh sistem pemulihan serta rehabilitasi atlet secara saintifik dan klinikal.
“Kolam hidroterapi ini, tidak hanya berfungsi sebagai tempat pemulihan kecederaan, malah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pemulihan tisu otot, mengurangkan tekanan pada sendi dan menyokong proses rehabilitasi secara menyeluruh.
“Ia juga membantu meningkatkan kekuatan fizikal dan mental atlet Perak menjelang kejohanan besar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Kolam Hidroterapi Atlet MSN Perak dan Penyerahan Geran Bantuan Kepada Persatuan Sukan Negeri di Seladang Sports Hub, MSN Perak di Ipoh pada Rabu.
Saarani berkata, segala fasiliti yang tersedia di MSN Perak harus digunakan dengan sebaik mungkin kerana setiap kemudahan yang dibangunkan merupakan pelaburan jangka panjang ke arah kejayaan.
Katanya, bagaimanapun fasiliti semata-mata tidak menjamin kemenangan jika ia tidak dimanfaatkan secara optimum melalui perancangan latihan yang teratur, pemantauan berterusan serta sinergi padu antara semua pihak yang terlibat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri turut menyalurkan Geran Bantuan berjumlah RM90,000 kepada 45 Persatuan Sukan Negeri manakala Persatuan Sukan Rekreasi Orang Kelainan Upaya (PESRON) menerima RM35,000.
Jelasnya, pemberian geran keseluruhan bernilai RM125,000 itu sebagai usaha berterusan memperkasakan pembangunan sukan serta dapat dimanfaatkan secara berkesan berdasarkan perancangan bagi memperkukuh struktur organisasi, membangunkan bakat serta melonjak prestasi atlet.
“Persatuan Sukan Negeri juga digalak menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan pakar perubatan sukan bagi melaksanakan penyelidikan dan inovasi berkaitan prestasi atlet serta pemulihan kecederaan.
“Saya percaya, jika MSN, persatuan sukan, jurulatih, pegawai, komuniti dan Kerajaan Negeri terus berganding bahu, kita mampu membina satu ekosistem sukan yang mampan, inklusif dan berdaya saing,” katanya.
Pada majlis itu juga Saarani turut menyempurnakan pelancaran logo rasmi baharu MSN Perak.