Mbappe tuntut RM276 juta dari PSG

Mbappe tuntut RM276 juta dari PSG


PENYERANG sensasi Real Madrid, Kylian Mbappe semakin hampir untuk mendapatkan bayaran tertunggak berjumlah €55 juta (RM276 juta) daripada bekas kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG).

Menurut peguam pemain itu, wang berkenaan akan disita daripada akaun PSG dan dibekukan buat sementara waktu sementara kes dibicarakan.

Mahkamah Kehakiman Perancis juga telah memberikan lampu hijau agar tindakan itu diteruskan terhadap kelab milik Qatar itu.

“Ini hanyalah isu seorang pekerja menuntut hak daripada majikan yang gagal membayar,” kata salah seorang peguam Mbappe, Delphine Verheyden dalam satu kenyataan.

Verheyden berkata, Mbappe bertegas untuk menuntut haknya bukan sahaja untuk dirinya sendiri, tetapi juga demi pemain lain yang turut merasakan diri mereka dianaktirikan oleh kelab masing-masing.

Dalam kenyataan sama, pasukan guaman pemain berusia 26 tahun itu memaklumkan akan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Buruh sebagai sebahagian daripada aduan yang lebih besar dikemukakan Kesatuan Pemain Bola Sepak Profesional Perancis (UNFP).

UNFP sebelum ini membuat aduan rasmi mendakwa beberapa pemain telah diketepikan secara tidak adil oleh kelab masing-masing dan Mbappe percaya dirinya turut menjadi mangsa situasi tersebut semasa bersama PSG.

Seorang wakil PSG yang enggan dikenali menyatakan pihak kelab tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kes itu di Mahkamah Buruh, malah yakin Mbappe tidak akan menang.

Mbappe menyertai Real Madrid pada Jun 2024 selepas tujuh tahun beraksi cemerlang bersama PSG dengan rekod 246 gol dalam 269 penampilan.

Walaupun permulaan kariernya di Sepanyol agak perlahan, namun beliau kini kembali menemui sentuhan penyudah dengan 22 gol dalam La Liga dan tujuh jaringan dalam kempen Liga Juara-Juara setakat ini.



Source link

OR

Scroll to Top