Abdoulaye Doucoure wira Everton, Forest gigit jari impian Eropah terjejas

Abdoulaye Doucoure wira Everton, Forest gigit jari impian Eropah terjejas


IMPIAN Nottingham Forest untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan semakin tipis apabila jaringan dramatik Abdoulaye Doucoure pada minit ke-94 memastikan kemenangan 1-0 buat Everton di Stadium City Ground.

Gol lewat itu bukan sahaja meranapkan harapan Forest untuk berada dalam kelompok lima teratas, malah melonjakkan peluang Doucoure untuk mendapatkan kontrak baharu bagi kekal di Goodison Park.

Biarpun memiliki rekod yang baik di laman sendiri sepanjang musim ini, Forest dilihat bergelut untuk benar-benar mengancam benteng pertahanan Everton.

Keputusan itu menyaksikan Forest kekal di tangga ketiga dengan 57 mata daripada 32 perlawanan, hanya empat mata di hadapan Chelsea yang menghuni tangga keenam dan masih memiliki satu perlawanan dalam tangan dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara (lima pasukan teratas layak).

Sementara itu, tiga mata penuh yang diraih Everton melonjakkan mereka ke tangga ke-14 dengan 38 mata daripada 32 perlawanan, sekali gus memberikan kelegaan signifikan dalam usaha mengelak penyingkiran.

Dalam pada itu, Doucoure yang jelas gembira, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya selepas wisel penamat.

“Ia terasa luar biasa. Pasukan bekerja keras dan kami layak mendapat kemenangan ini.

“Kami mencipta banyak peluang dan untuk mendapatkan gol pada minit terakhir, saya percaya saya akan menjaringkan gol hari ini. Kami mendominasi mereka dari minit pertama.

“Saya cintakan kelab ini. Sejak saya menandatangani kontrak, saya sentiasa mahu kekal. Kontrak saya akan tamat, jadi kita lihat apa yang berlaku dalam beberapa minggu akan datang,” katanya yang akan tamat kontrak pada penghujung musim ini.



Source link

OR

Scroll to Top