Jaringan tunggal Alif Ikmalrizal ceriakan Penang FC

Jaringan tunggal Alif Ikmalrizal ceriakan Penang FC


HARAPAN Kuala Lumpur City (KL City) FC untuk kembali ke landasan kemenangan dalam saingan Liga Super tidak kesampaian apabila tewas tipis 0-1 kepada Penang FC di Stadium Bandaraya, Georgetown, malam ini.

Penyerang Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar muncul wira tuan rumah apabila jaringan pada babak pertama sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata penuh.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut Penang FC selepas menewaskan Negeri Sembilan FC, 2-0 pada 5 April lepas.

Biarpun perlawanan bermula agak seimbang, kealpaan pelawat yang gagal merantai pergerakan Alif Ikmalrizal memudahkannya untuk menyumbat masuk hantaran dari sebelah kiri pemain pertahanan Muhammad Adib Abdul Ra’Op pada minit ke-27.

Sebaik separuh masa kedua bersambung, KL City menyamakan kedudukan menerusi tandukan pemain tengah import Patrick Reichelt namun kegembiraan mereka tidak kekal lama apabila sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesannya berada dalam kedudukan offside.

Penang FC yang kerap menyerap asakan demi asakan KL City hampir menggandakan jaringan sebelum penjaga gol lawan Muhammad Azri Ab Ghani bertindak cemerlang menepis rembatan deras pemain gantian Neto Oliveira dari luar kotak penalti pada minit ke-81.

Minit-minit akhir perlawanan dilihat tegang dengan beberapa insiden kekasaran berlaku sehingga menyebabkan pemain import Adrijan Rudovic diarah keluar padang dengan mengutip kad kuning kedua apabila mengasari tonggak serangan Muhammad Akid Mohd Zamri pada masa kecederaan.

Kekalahan kedua berturut-turut dialami KL City selepas tunduk kepada Perak FC 1-2, 6 April lepas, tidak menjejaskan kedudukan keenam mereka dengan 28 mata manakala Penang berada di tangga ke-10 dengan 26 mata. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top