Presiden PSG kagum pencapaian TMJ, JDT

Presiden PSG kagum pencapaian TMJ, JDT


KEJAYAAN pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini bukan sahaja mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan, malah turut mendapat pengiktirafan daripada Presiden kelab gergasi Eropah, Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi.

Menerusi sepucuk surat rasmi, Nasser mengucapkan tahniah kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT atas pencapaian menakjubkan kelab itu dalam saingan bola sepak Malaysia.

Menurut Nasser, beliau amat mengagumi konsistensi dan tahap profesionalisme yang ditunjukkan oleh JDT.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada anda dan semua individu di kelab JDT atas kejayaan bersejarah menjuarai Liga Super Malaysia buat kali ke-11.

“Kejayaan Johor merangkul gelaran ke-11 berturut-turut sejak 2014 adalah bukti kepada visi dan kepimpinan anda yang jelas, dibantu dengan bakat serta dedikasi semua pihak di dalam kelab,” katanya.

Bukan sahaja skuad utama, malah Nasser turut memuji sistem pembangunan akar umbi JDT yang terbukti berkesan apabila keseluruhan struktur kelab berjaya meraih 16 trofi sepanjang musim ini, termasuk pasukan akademi dan pembangunan.

“Ia sangat menakjubkan apabila Johor telah memenangi 16 trofi musim ini, dari pasukan junior hingga skuad utama, sekali gus menunjukkan komitmen pembangunan jangka panjang anda dalam bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu, Nasser menyatakan komitmennya untuk terus menyokong JDT dalam pelbagai aspek dan mendoakan kejayaan kelab itu menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Seperti biasa, saya sentiasa bersedia untuk membantu. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada anda dan seluruh pasukan JDT untuk final Piala Malaysia akan datang,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top