Manchester: Manchester United boleh mengubah musim yang suram menjadi kenangan manis, kata Ruben Amorim selepas menyaksikan pasukannya bangkit untuk menewaskan Lyon 5-4, awal pagi tadi, dan mara ke separuh akhir Liga Europa menerusi agregat 7-6.
Musim United seolah-olah berakhir dengan hanya enam minit berbaki dalam masa tambahan di Old Trafford apabila mereka ketinggalan 2-4, walaupun Lyon beraksi dengan 10 pemain selepas kedudukan terikat 2-2.
Sepakan penalti Bruno Fernandes menjadi pencetus kebangkitan sebelum Kobbie Mainoo dan Harry Maguire menjaringkan gol yang mencetuskan suasana penuh emosi dan sorakan gemuruh di stadium.
Amorim mengakui bahawa beliau menonton dokumentari mengenai kejayaan treble terkenal United pada tahun 1999, ketika mereka bangkit daripada ketinggalan 0-1 dalam masa kecederaan untuk menewaskan Bayern Munich 2-1 semasa final Liga Juara-Juara.
Pada musim yang dianggap sangat mengecewakan dengan United kini menghuni tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris (EPL), satu lagi kebangkitan bersejarah di pentas Eropah pastinya akan kekal dalam memori penyokong setia mereka.
“Di stadium ini, di kelab ini, anda sentiasa merasakan apa-apa pun boleh berlaku dan hari ini adalah satu lagi bukti.
“Kami tahu kami beraksi di bawah tahap sebenar dan layak menerima segala kritikan, tetapi kami masih ada masa untuk menjadikan musim ini sesuatu yang istimewa,” kata Amorim.
United akan bertemu Athletic Bilbao di separuh akhir, manakala Tottenham akan berdepan kelab Norway, Bodo/Glimt dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Jika United gagal menjuarai kejohanan ini, mereka hampir pasti terlepas aksi Eropah musim depan – satu tamparan besar dari segi ekonomi dan kepada perancangan Amorim untuk membina semula skuadnya di jendela perpindahan.
Sebaliknya, jika berjaya menjulang trofi di Bilbao pada 21 Mei, United akan memperoleh laluan terus ke Liga Juara-Juara musim depan bersama ganjaran lumayan yang menanti.
“Satu detik boleh mengubah banyak perkara dalam fikiran pemain.
“Kami perlu betul-betul fokus kepada Liga Europa dan kadang-kadang terpaksa ambil risiko dengan menggunakan pemain muda dalam aksi Liga Perdana. Penyokong perlu faham perkara ini. Fokus kami kini adalah Liga Europa,” kata Amorim.
© New Straits Times Press (M) Bhd