mdroji@bh.com.my
Kuching: Agensi Persekutuan khususnya Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa supaya mempercepatkan projek pembangunan sekolah di Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan sekolah antara keperluan mendesak dan rakyat mahu projek itu disegerakan.
Justeru katanya, ada keperluan untuk Kerajaan Persekutuan dan negeri meningkatkan usaha untuk menjaga kepentingan bersama.
“Ada juga cadangan yang meminta saya mengumumkan pembangunan sekolah baharu, sama ada menengah sekolah atau sekolah kebangsaan di merata Sarawak antaranya di Sarikei, Mukah, Daro, Sri Aman dan Saratok, sama ada pembangunan semula sekolah atau membina sekolah baharu.
“Saya minta semua projek ini jangan dilengahkan. Ia mesti dilaksanakan secepat mungkin kerana rakyat mahu projek ini disegerakan” katanya dalam ucapan di Majlis Aidilfitri MADANI 2025 Sarawak di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata langkah Sarawak mendahulukan dana sendiri untuk membina kemudahan infrastruktur termasuk Hospital Kanser antara langkah terbaik untuk mengatasi masalah kelewatan pembinaan kemudahan itu.
“Projek itu memerlukan peruntukan RM1 bilion dan keputusannya Sarawak mendahulukan dengan dana sendiri dan Kerajaan Persekutuan akan membayar kemudian.
“Apabila hospital itu dibina, ia akan turut memberi sumbangan kepada negara dan menjadi hospital kanser terbaik,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Sarawak khususnya harus mensyukuri nikmat yang dikecapi ketika ini apabila negeri ini aman, ekonomi berkembang serta mempunyai pemimpin yang mendengar pandangan dan keluhan rakyat.
“Sistem politik Sarawak stabil, pimpinannya mempunyai wawasan, tegas dan mempunyai idea untuk sentiasa menimba pengalaman baharu mencungkil bakat keupayaan.
“Selain itu, Sarawak memberi sumbangan yang besar dan di mana mana negara saya pergi baik Eropah, China, Jepun apa lagi ASEAN, saya sebut Sarawak berpotensi besar sebagai hub tenaga rantau ini,” katanya.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd