JOHOR BAHRU : Keputusan tidak rasmi menunjukkan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berpeluang cerah mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Johor Bahru pada pemilihan parti selepas memperoleh 949 undi.
Mengikut kemas kini sehingga 5.27 petang tadi, Akmal memperoleh 949 undi daripada 1,789 pengundi yang berdaftar, sekali gus memperoleh majoriti mudah.
Bagaimanapun, keputusan rasmi pemilihan kali ini tertakluk kepada pengesahan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Menurut Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu, pihaknya telah melantik Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi mengendalikan proses pemilihan di semua lokasi mengundi yang telah dimaklumkan kepada JPP.
Katanya, setiap KTM telah merekodkan undian melalui Borang 14 yang diusahakan pasukannya sebagai dokumen sah di sisi undang-undang.
“Alhamdulillah, berdasarkan rekod tersebut, jumlah undian untuk saya sebagai Ketua Cabang adalah sebanyak 949 undian.
“Ini merupakan angka minimum dan tidak termasuk undian individu yang mungkin menaikkan jumlah keseluruhan undi,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya.
Akmal berdepan saingan saingan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Taufiq Ismail bagi mempertahankan jawatan itu.
Akmal turut menzahirkan penghargaan kepada semua anggota parti yang telah menjalankan amanah dalam proses pemilihan itu.
“Setiap undi yang diberikan kepada saya dan pasukan juga disertakan dengan rekod tangkap layar dan tandatangan pengakuan sebagai bukti.
“Terima kasih kepada semua anggota yang telah menjalankan amanah dan semoga suara akar umbi Johor Bahru dihormati,” katanya.-UTUSAN